KUALA LUMPUR:Lebih 35 peratus daripada kes penderaan kanak-kanak Malaysia yang dilaporkan bagi tahun ini melibatkan jenayah seksual.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, jumlah itu mewakili 1,373 kes daripada keseluruhan 3,875 kes yang dilaporkan sehingga September lalu.

Angka itu diikuti 1,251 kes pengabaian dan 1,120 kes lagi penderaan fizikal sementara penderaan emosi dilaporkan sebanyak 131 kes.

"Antara punca utama berlakunya penderaan adalah disebabkan oleh masalah kewangan, ibu bapa yang terlibat dalam penagihan dadah dan pendera mengalami masalah mental," katanya di Parlimen di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sabri Azit (Pas-Jerai) mengenai statistik penderaan kanak-kanak yang berlaku hingga akhir tahun ini dan langkah-langkah yang telah diambil bagi mengelakkan berlakunya isu penderaan kanak-kanak di Malaysia.

Siti Zailah berkata, namun begitu  pada tahun lalu, kes pengabaian kanak-kanak dilaporkan tertinggi dengan 2,521 kes daripada 6,061 kes yang dilaporkan.

Sementara katanya, kes penderaan seksual mencatatkan 1,856 kes, penderaan fizikal (1,571 kes) dan penderaan emosi (113 kes).

"Bagi tahun 2018, sebanyak 2,046 kes dilaporkan untuk pengabaian, penderaan seksual (1,705 kes), penderaan fizikal (1,703 kes) dan penderaan emosi (124 kes)," katanya.

Bagi menangani masalah itu, katanya, beberapa program dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk mewujudkan sistem semakan pesalah jenayah seksual dalam daftar kanak-kanak serta menyediakan senarai semak/panduan (infografik) bagi pemilihan pengasuh.

"Selain melantik pembantu pelindung sebagai barisan hadapan bagi menyelamat dan memberikan perlindungan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, kita juga memperluaskan liputan perkhidmatan Talian Kasih 15999 serta Whatsapp Talian Kasih 019-26 15999 bagi khidmat sokongan, kaunseling, pertanyaan dan aduan," katanya.