TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipilih universiti pertama untuk bekerjasama dengan World Bank Group dalam melaksanakan penyelidikan berkaitan asuhan dan didikan kanak-kanak dalam konteks pembangunan inklusif dan kelestarian kewangan di Malaysia.

Dalam kerjasama itu, UPSI akan diwakili Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC).

Majlis menandatangani surat niat itu berlangsung di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur pada Isnin, antara Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Pengurus World Bank Group, Dr Yasuhiko Matsuda.

Md Amin berkata, inisiatif yang diambil kedua-dua pihak bertujuan membantu dalam memberi pemahaman kepada komuniti dan negara berkaitan isu serta cabaran asuhan dan didikan kanak-kanak di Malaysia.

“UPSI akan membantu The World Bank melengkapkan laporan mengenai kanak-kanak dan pusat asuhan di samping penyelidikan kuantitatif tentang penentuan akses awal pendidikan kanak-kanak untuk isi rumah berpendapatan rendah berdasarkan data daripada Pusat Data Kanak-kanak Kebangsaan (NCDC) yang dibangunkan oleh NCDRC,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, beliau berkata, sehingga kini, katanya, NCDC berjaya merekodkan 74,292 kanak-kanak, 21,626 pendidik dan 4,731 pusat asuhan di Malaysia.

Menurutnya, data yang direkodkan mampu membantu pihak berkepentingan dalam memberi manfaat, bukan sahaja kepada  aspek asuhan dan perkembangan kanak-kanak, malah melonjakkan ekosistem pendidikan awal usia di Malaysia.

Md Taff berkata, berdasarkan keperluan untuk memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di peringkat antarabangsa, kerjasama dengan World Bank Group bakal mewujudkan kepakaran dua hala bagi memberi manfaat melalui perolehan data yang komprehensif dalam bidang berkenaan.

“NDCRC yang berperanan sebagai pusat penyelidikan, pembangunan pengajaran dan pengeluaran produk kanak-kanak, menjadi pilihan yang tepat bagi World Bank Group dalam mendapatkan maklumat berkaitan gambaran melalui data berkaitan perkembangan kanak-kanak, pusat asuhan, pengasuh dan pengusaha taska di Malaysia,” ujarnya.

Beliau berharap dengan kerjasama melalui penyelidikan itu bakal memberi manfaat kepada UPSI untuk merealisasikan misi NCDRC menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang pertama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak pertama di Malaysia selain  meningkatkan lagi penarafan UPSI di persada antarabangsa.

Turut hadir pada majlis menandatangani surat niat itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Suriani Abu Bakar;  Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr Mazlina Che Mustafa, para penyelidik NCDRC serta pakar ekonomi dari World Bank Group.