KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendirian tegas tidak menerima sebarang aktiviti berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) khususnya dalam kalangan masyarakat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut konsisten dengan pendirian kerajaan itu, namun dalam konteks hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tidak menolak hak tertentu kepada golongan LGBT seperti hak pendidikan.

"Sebab itu, pendekatan yang diambil dalam konteks Jakim adalah bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk memberikan kesedaran dan mengambil tindakan untuk memastikan agar golongan ini kembali kepada fitrah yang sebenar serta menyedarkan mereka daripada kesalahan yang dilakukan.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat berhubung perkara itu.

Menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu sama ada Jakim mempunyai maklumat berkaitan jumlah perkahwinan sama jantina di negara ini, Mohd Na'im berkata tiada perkahwinan sejenis pernah direkodkan atau didaftarkan oleh Jakim.

"Jabatan agama Islam negeri-negeri juga tidak ada satu pun perkahwinan melibatkan sesama jenis yang didaftarkan. Itu adalah jelas.

"Hatta, kalau katakan perkahwinan itu dilangsungkan juga, apabila pihak ini ingin berhasrat daftarkan (perkahwinan mereka di negara ini), ini mustahil sebab undang-undang tidak membenarkan," katanya merujuk kepada akta ataupun Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

-- BERNAMA