KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menegaskan pendiriannya mengutuk serangan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, dengan menekankan bahawa tindakan itu melanggar undang‑undang antarabangsa dan mencabar prinsip asas kedaulatan negara.
Pensyarah Fakulti Undang‑Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata pendirian tegas yang disuarakan Perdana Menteri di Dewan Rakyat selari dengan prinsip diplomasi dan peraturan antarabangsa.
Advertisement
Menurut beliau, kecaman bipartisan di Parlimen terhadap tindakan tersebut menunjukkan Malaysia bersatu mempertahankan norma asas sistem antarabangsa, khususnya penghormatan terhadap integriti wilayah negara berdaulat.
"Larangan penggunaan kekerasan terhadap negara lain merupakan asas utama Piagam Pertubuhan Bangsa‑Bangsa Bersatu (PBB) melalui Artikel 2(4).
"Penggunaan kekerasan hanya dibenarkan bagi tujuan mempertahankan diri atau melalui mandat Majlis Keselamatan PBB di bawah Bab VII," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Afandi berkata serangan ke atas Iran tidak memenuhi syarat tersebut dan menimbulkan persoalan dari sudut keabsahan undang‑undang antarabangsa.
Menurutnya, tindakan unilateral tanpa mandat boleh dikategorikan sebagai tindakan kekerasan yang bertentangan dengan Piagam PBB.
Beliau menarik perhatian kepada definisi 'crime of aggression' di bawah Statut Mahkamah Jenayah Antarabangsa, yang merujuk kepada pencerobohan terhadap kedaulatan negara lain.
"Sejarah selepas Perang Dunia Kedua termasuk perbicaraan Nuremberg turut menilai tindakan agresi sebagai kesalahan paling serius dalam undang‑undang antarabangsa," kata beliau yang juga aktif sebagai aktivis kemanusiaan .
Mohd Afandi turut mengingatkan bahawa tindakan ketenteraan unilateral seperti pencerobohan Iraq pada 2003 menunjukkan bagaimana ketiadaan mandat antarabangsa boleh membawa ketidakstabilan jangka panjang di rantau Asia Barat.
Beliau berkata pendirian Malaysia adalah signifikan kerana menegaskan keperluan menyelesaikan konflik melalui diplomasi dan undang‑undang antarabangsa, sejajar dengan kepentingan Malaysia dalam mengekalkan keamanan serantau dan global.
Dalam kenyataannya, beliau menyimpulkan bahawa kecaman kerajaan dan Parlimen Malaysia terhadap serangan tersebut menunjukkan komitmen negara mempertahankan keadilan dan kedaulatan, serta memastikan keamanan antarabangsa terus berasaskan undang‑undang dan bukan kekuatan ketenteraan.