Skip to main content

Malaysia

Penduduk FELDA Lok Heng bantah cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal

FELDA Lok Heng, Sedili, bantahan.
Penduduk Gugusan FELDA Lok Heng dan Waha serta beberapa kawasan berhampiran menyerahkan memorandum bantahan terhadap cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari. -Foto Astro AWANI
Advertisement

KOTA TINGGI: Penduduk Gugusan FELDA Lok Heng dan Waha serta beberapa kawasan berhampiran menyerahkan memorandum bantahan terhadap cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari yang didakwa bakal dibangunkan berhampiran penempatan mereka.

Memorandum itu diserahkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu pertemuan bersama penduduk setempat yang turut dihadiri calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Rasman Ithnain.

Menerusi memorandum berkenaan, penduduk menzahirkan kebimbangan terhadap kesan yang dikhuatiri akan timbul sekiranya projek itu diteruskan, khususnya terhadap alam sekitar, kesihatan awam, sumber air dan kesejahteraan komuniti FELDA di kawasan terbabit.

Menurut memorandum itu, penduduk tidak menolak usaha kerajaan menambah baik sistem pengurusan sisa pepejal negara, namun menegaskan pelaksanaannya perlu mengambil kira keselamatan dan kepentingan masyarakat setempat.

“Kami tidak menolak pembangunan atau usaha meningkatkan sistem pengurusan sisa pepejal negara, namun ia hendaklah dilaksanakan di lokasi yang sesuai tanpa mengorbankan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti FELDA,” menurut memorandum itu.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan ialah risiko pencemaran sungai, parit dan air bawah tanah, selain pencemaran udara akibat bau, pelepasan gas serta habuk daripada operasi tapak pelupusan.

Penduduk juga mendakwa projek berkenaan berpotensi meningkatkan kehadiran lalat, tikus dan serangga pembawa penyakit, sekali gus menjejaskan kualiti hidup masyarakat sekitar.

Selain itu, mereka mendakwa lokasi yang dicadangkan terlalu hampir dengan kawasan penempatan, tanah pertanian dan pembangunan generasi kedua FELDA.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan bahawa pertambahan pergerakan lori sampah boleh memberi kesan kepada keselamatan pengguna jalan raya, keselesaan penduduk, nilai hartanah serta imej kawasan FELDA.

Sehubungan itu, penduduk menggesa agar cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal itu ditangguhkan sehingga semua isu berkaitan dibincangkan secara menyeluruh dan telus.

“Kami menuntut supaya cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal ini dihentikan sementara sehingga semua isu yang dibangkitkan dibincangkan dan diselesaikan secara telus,” jelas memorandum tersebut.

Mereka turut menggesa supaya laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) serta kajian hidrologi didedahkan kepada umum, selain mengadakan sesi dialog terbuka yang melibatkan penduduk, agensi kerajaan, pakar teknikal dan semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

 

Must Watch Video

Advertisement