MALAYSIA
Penduduk jadikan banjir sebagai pesta air

Sekumpulan kanak-kanak di Kampung Pasar lama, Pasir Tumboh bermain air banjir di hadapan rumah mereka selepas kampung itu ditenggelami banjir ketika tinjauan fotoBERNAMA di sini, hari ini.
Bencana banjir yang melanda negeri ini sejak beberapa hari lepas bagaikan pesta bermain air bagi kanak-kanak dan remaja.
Tinjauan Bernama di Kampung Pasar Lama, Pasir Tumboh di sini, mendapati golongan kanak-kanak dan remaja bermain dan mandi di kawasan dinaiki air manakala orang dewasa mengambil kesempatan untuk menangkap ikan.
Mohd Hasri Hassan, 22, dari Kampung Tiong berkata beliau mengambil peluang menambah pendapatan dengan menahan pukat di kawasan yang dinaiki air.
"Ikan yang diperoleh dijual kepada orang ramai. Ada ikan puyu, ikan haruan dan lain-lain, memang berbaloi, saya buat aktiviti ini setiap kali musim banjir," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Selain itu, kesempatan cuti sekolah yang akan bermula esok di negeri ini dijangkakan lebih ramai kanak-kanak keluar untuk bermain air banjir.
Tinjauan Bernama di kawasan Perumahan Sri Mulong di sini, mendapati terdapat beberapa orang kanak-kanak bermain air tanpa pemantauan daripada ibu bapa.
Mohd Firdaus Saari, 11, berkata beliau mengambil kesempatan untuk bermain air banjir kerana ibu bapanya tiada di rumah.
"Memang seronok bermain air banjir di depan rumah, kalau ibu ada memang tak boleh bermain," katanya.
Adiknya, Mohd Syafiq, 9, berkata bermain air bersama rakan-rakan memang seronok kerana banjir tidak selalu berlaku.
Pihak berkuasa termasuk polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan telah menasihati orang ramai agar tidak menjadikan banjir sebagai pesta kerana boleh mengundang kejadian tidak diingini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami