KOTA BHARU: Rata-rata penduduk di sekitar daerah ini dapat menarik nafas lega apabila bekalan gula yang terputus sejak minggu lepas kini kembali pulih.

Seorang pemborong dan peruncit barangan runcit Ahmad Najmi Mohd Ashari, 36, dari Tanjung Chat berkata beliau mula menerima bekalan gula secara berperingkat sejak Isnin lepas.

Katanya, walaupun bekalan yang diterima daripada pembekal dihadkan, sekurang-kurangnya beliau bersyukur dapat menyediakan barangan keperluan itu untuk dijual berikutan ia mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

"Sebelum ini saya mampu mendapat bekalan gula daripada pembekal lebih 4,000 kilogram (kg) bagi tempoh seminggu. Namun, sejak timbul isu ketiadaan gula dan ia kembali pulih bermula Isnin lepas saya hanya menerima kira-kira 2,500 kg gula.

"Disebabkan bekalan daripada pembekal juga terhad, saya kini terpaksa mengehadkan juga pembelian kepada setiap pelanggan iaitu dua hingga tiga kg sahaja bergantung kepada bekalan semasa yang dijual pada harga RM2.85 setiap kg," katanya ketika ditemui Bernama di kedai runcitnya di Tanjung Chat di sini hari ini.

Ahmad Najmi berkata beliau juga berterima kasih kepada kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan kerana cakna dengan isu yang dihadapi oleh rakyat dan berjaya menanganinya dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, seorang pengusaha kedai makan Rodiah Ismail, 44, dari Kampung Banggol berkata perniagaannya hampir terjejas pada minggu lepas berikutan ketiadaan bekalan gula untuk digunakan dalam masakan dan minuman di kedainya.

"Sepanjang tempoh itu saya hanya mampu bertahan dengan bekalan gula sedia ada yang dibeli sebelum berlaku ketiadaan gula selain terpaksa mengurangkan kuantiti bahan itu dalam masakan dan minuman.

"Bagaimanapun, kini saya mampu menarik nafas lega apabila bekalan gula sudah mudah diperoleh di kedai runcit walaupun setiap pelanggan dihadkan pembelian sekadar dua kg gula setiap seorang," katanya.

Seorang pengguna, Kamarul Zaman Wan Mohamad, 60, dari Kampung Chat berkata sejak minggu lepas beliau terpaksa mencari bekalan gula di lebih 10 kedai runcit, namun tidak berjaya.

"Sepanjang tempoh itu saya terpaksa menggunakan susu pekat untuk menggantikan penggunaan gula terutamanya dalam minuman dan sebagainya.

"Saya berharap isu ketiadaan gula ini tidak berulang lagi pada masa depan memandangkan ia bahan keperluan yang digunakan oleh rakyat terutamanya dalam kehidupan harian," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan gangguan bekalan gula di Pantai Timur telah pulih.

Menerusi laporan itu, masalah dikenal pasti berpunca daripada penutupan sementara kilang gula MSM Malaysia Holdings Bhd di Johor dan Perai, Pulau Pinang sempena sambutan Aidilfitri dan telah beroperasi semula pada 25 April lepas.

-- BERNAMA