KUALA LUMPUR: Orang ramai di Lembah Klang yang bakal mengalami gangguan bekalan air selama empat hari bermula Rabu, mula sibuk membuat persiapan bagi memastikan bekalan sumber tersebut mencukupi sepanjang tempoh itu.

Tinjauan Bernama di sekitar bandar raya ini dan Selangor mendapati rata-rata penduduk mahupun pengusaha premis sedia maklum mengenai pengumuman gangguan bekalan air yang dibuat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan mengambil tindakan sewajarnya.

Pemilik Annur Briyani Kampung Baru, Norafizah Buang, 43, berkata restorannya akan tetap beroperasi sekiranya keadaan terkawal dan akan menggunakan pinggan serta cawan pakai buang bagi meminimumkan penggunaan air.

"Saya sudah simpan 10 bekas air bersaiz besar sebagai persediaan.

"Apa-apa pun, saya perlu utamakan kebersihan dalam menghidangkan makanan kepada pelanggan,'' katanya yang telah berniaga selama 15 tahun.

Bagi Mohd Izuan Mohd Dahlan, 41, yang menetap di Apartment Orkid, Bandar Baru Sentul, beliau mengambil inisiatif membeli tong air bersaiz 120 liter buat kegunaan keluarganya.

"Tangki air di rumah mampu bertahan hingga dua hari. Jadi, saya harap ia cukup untuk kegunaan kami tiga beranak, tetapi kalau tak cukup juga, kami 'lari' balik kampung di Karak, nasib baik dah boleh rentas negeri," katanya.

Dalam pada itu, pekerja pasar mini Harolnazlina Habib, 37, berkata jualan air mineral di kedainya meningkat sejak dua hari lepas.

"Macam hari ini pun, air mineral saiz besar 9.5 liter dah habis, hanya tinggal saiz 1.5 liter. Itu pun siapa cepat, dia dapat," katanya.

Suri rumah, Sapiah Mohamed Noor, 56, berkata walaupun risau dengan ketiadaan air di saat COVID-19 masih melanda negara, beliau tetap bersyukur kerana ia merupakan gangguan air berjadual dan masih sempat melakukan persediaan termasuk membeli baldi dan menadah air untuk keperluan selama empat hari.

Pekerja di Pusat Dialisis Al-Ehsan (PULEH) Monaziah Mohamed, 49, berkata mereka terpaksa mengatur semula jadual pesakit yang akan mendapatkan rawatan dialisis bagi memastikan bekalan air untuk digunakan pesakit mencukupi.

"Walaupun berlaku krisis air ini, jumlah pesakit yang hadir tetap sama seperti sebelum ini cuma waktu mereka mendapatkan rawatan dialisis akan dipendekkan, iaitu jika sebelum ini mereka mendapatkan rawatan empat jam, ia dipendekkan kepada tiga setengah jam," katanya.

Menurut Monaziah, mereka juga menyediakan tempat penyimpanan air yang akan sentiasa dipantau parasnya untuk memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

Bagi pengurus sebuah hotel bajet, Amirul Asyraf Laila Satria, 25, gangguan bekalan air menyebabkan pihaknya terpaksa mengehadkan jumlah kemasukan pelanggan sehingga 50 peratus bagi memastikan operasi hotel dapat berjalan lancar.

Amirul Asyraf berkata langkah mengehadkan jumlah pelanggan itu juga dilakukan selepas terdapat segelintir pelanggan sebelum ini, yang datang ke hotel semasa krisis air berlaku hanya untuk mengisi air dan membawa pulang bagi bekalan di rumah.

Dilaporkan, sebanyak 998 kawasan di Lembah Klang khasnya di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 9 pagi Rabu hingga 16 Okt ini.

Gangguan itu ekoran pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

-- BERNAMA