Penduduk di kawasan Sungai Limau kebanyakannya menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam melihat cadangan pihak swasta untuk menempatkan sebuah pelabuhan di Pulau Bunting disini.

Pelabuhan tersebut dikatakan akan digunakan untuk aktiviti eksport dan import akan dapat mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Pelabuhan Pulau Pinang.

Namun, begitu penduduk masih mengharapkan pulau tersebut dapat dibangunkan menjadi pusat pelancongan kerana ianya bakal mendatangkan keuntungan kepada penduduk kampung disamping menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk ke pulau itu.

Norazizan Mohd Kassim, 39, dari Kampung Sungai Kering berkata, sebelum ini tiada apa-apa rancangan pun yang mahu dibuat dalam membangunkan pulau tersebut sehingga menyebabkan ianya bagaikan menjadi sebuah projek ‘gajah putih’.

a
Norazizan Mohd Kassim

“Dengan adanya pelabuhan sekurang-kurangnya peluang pekerjaan kepada orang kampung di sini akan bertambah namun pulau ini juga boleh dibangunkan menjadi pusat pelancongan kerana ramai pemancing dari dalam dan luar tertumpu ke sini untuk memancing,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Menurutnya, perhubungan untuk ke pulau tersebut dihubungkan dengan sebuah jambatan.

Ahmad Habibullah Khan, 20 pula menyifatkan Pulau Bunting bukan hanya terkenal dikalangan penduduk tempatan sahaja, malah ianya turut mendapat perhatian pelancong dan ‘kaki pancing’ dari Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Pelancong dari Sabah dan Sarawak pun sanggup datang jauh-jauh ke sini untuk meneroka keindahan pulau tersebut sambil memancing tetapi tengok sahajalah tempat ini tidak diselenggarakan dengan sempurna dan teratur.

PRK Sungai Limau
Ahmad Habibullah Khan

Beliau merasakan jika mahu membina sebuah pelabuhan di pulau tersebut, infrastruktur dari sudut akses ke pulau tersebut perlu dibaikpulih seperti semak-samun dibersihkan, pokok-pokok ditebang dan penutup-penutup longkang di kiri dan kanan Jambatan Pulau Bunting itu diperbaiki dengan segera.

“Saya pun tidak faham dengan apa projek yang sebenarnya hendak dilakukan di kawasan ini, pada awal dulu ketika jambatan ini mula dibuat dikatakan ianya untuk projek pelabuhan kapal kemudian untuk dijadikan pusat pelancongan pula dan selepas itu hendak dijadikan pusat penapisan minyak dan paling terbaru katanya tidak jadi pula hendak dibuat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini bukanlah tidak turun di kawasan ini tapi mereka sekadar turun biasa sahajalah tanpa ada sebarang perubahan yang dilakukan pun,” katanya lagi.

PRK Sungai Limau
Normala Norman

Seorang peniaga kuih muih, Normala Norman, 42, pula berkata kebanyakan penduduk kampung tiada masalah dengan sebarang projek yang hendak dilakukan di pulau tersebut, namun biarlah ianya memberi manfaat juga kepada penduduk kampung.

“Jambatan yang sudah siap dibina pun ditutup pintu masuknya sampaikan ianya kini telah dirosakkan oleh pemancing-pemancing dan orang kampung yang mahu memancing, jadi pulau ini memang sumber tarikan pelancong dan sekurang-kurangnya jika mahu dibina pelabuhan di sini pun, prasarana seperti gerai peniaga-peniaga kecil disini biarlah dibaikpulih atau disediakan satu tempat yang sesuai kerana penduduk kampung pun seharusnya menerima manfaat dengan apa yang direncanakan oleh kerajaan,” kata Normala.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata ada kewajaran dalam cadangan pihak swasta dalam mewujudkan sebuah pelabuhan di Pulau Bunting untuk tujuan aktiviti eksport dan import.

Pembinaan pelabuhan tersebut dilihat dapat membantu Taman Perindustrian Automotif Gurun secara langsung disamping mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Pelabuhan Pulau Pinang.

Selain itu juga, kerajaan negeri sedang menimbangkan untuk membina sebuah loji janakuasa arang batu di Pulau Bunting untuk membekalkan tenaga elektrik ke Thailand.

FAKTA RINGKAS PULAU BUNTING

1. Pulau Bunting adalah sebuah pulau yang tidak berpenghuni yang menjadi tarikan para pemancing untuk memancing di sekitar pulau tersebut.

2. Kampung Sungai Kering yang terletak kira-kira 11.7km dari pekan Yan merupakan kampung yang terletak berhadapan pulau tersebut dan dipisahkan dengan perairan Selat Melaka.

3. Antara hidupan laut yang sering ditemui dan menjadi tarikan pemancing untuk memancing disekitar kawasan pulau itu ialah ikan tenggiri, ikan pari, ikan senangin dan ikan marlin.

4. Obor-obor juga sering dilihat berada dikawasan perairan berkenaan.

5. Pulau tersebut dihubungkan dengan Jambatan Pulau Bunting.


FAKTA RINGKAS MENGENAI JAMBATAN PULAU BUNTING

1. Pembinaan jambatan berukuran 2.3km panjang dan 13 meter lebar telah dilaksanakan antara tahun 2002 dan 2005 dan menelan belanja RM120 juta.

2. Jambatan tersebut menghubungkan kawasan Kampung Sungai Kering dan merentasi perairan Selat Melaka sebelum ke Pulau Bunting.

3. Jambatan itu juga mempunyai 80 meter ‘arch cable-stayed bridge’ yang sering dijadikan lokasi oleh para pemancing untuk memancing ikan.

4. Dari atas jambatan tersebut, pemandangan indah Gunung Jerai dapat dilihat dari arah laut malah beberapa pulau seperti Pulau Telur, Pulau Songsong juga boleh dilihat dari atas jambatan tersebut.

5. Disebabkan tiada perancangan mutlak terhadap Pulau Bunting, beberapa infrastruktur di jambatan seperti pagar jambatan dan penutup longkang tersebut telah dirosakkan oleh ‘kaki pancing’ dan ‘mat rempit’ yang menjadikan jambatan tersebut sebagai tempat memancing dan tempat untuk berlumba haram.