IPOH: Berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 26 Julai lepas tidak menjadi penghalang buat penduduk Medan Klebang Restu, Chemor di sini mempamerkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan.

Seramai 972 orang penduduk daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan latar belakang membabitkan 852 kediaman, bukan sahaja memasang Jalur Gemilang di kediaman mereka, tetapi juga bersemangat berdiri di sebalik pagar rumah masing-masing dengan memegang bendera Malaysia semasa berlangsung program Sepakat Komuniti Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kinta 2021, hari ini.

Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak Mohd Taip Ubah berkata menerusi program itu kumpulan konvoi bergerak membabitkan tujuh agensi kerajaan mengelilingi kawasan perumahan sambil memasang lagu-lagu patriotik bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan selain hebahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada penduduk.

Tinjauan Bernama ketika menyertai perarakan itu mendapati terdapat penduduk yang turut mengenakan pakaian kebangsaan seperti baju Melayu lengkap bersampin dan bertanjak.

"Saya sangat seronok dengan semangat yang ditunjukkan oleh penduduk Medan Klebang Restu, walaupun kawasan perumahan mereka sedang PKPD, mereka mengibarkan bendera Malaysia di rumah masing-masing ketika konvoi mengelilingi perumahan mereka.



"Bagaimanapun fokus kibaran bendera Malaysia bukan sahaja di kawasan PKPD, namun kita akan meluaskan lagi program ini di daerah-daerah lain," katanya pada sidang media selepas perarakan program berkenaan.

Menurut beliau program pertama kibaran bendera di daerah Kinta itu dilakukan dengan SOP yang ketat dan hanya melibatkan perarakan lapan kenderaan meliputi tujuh agensi kerajaan iaitu Jabatan Penerangan Daerah Kinta, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Angkatan Pertahanan Awam Kinta, Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta serta Pejabat Kesihatan Daerah Kinta.

"Program ini adalah untuk kita hebahkan pengumuman berkenaan COVID-19 yang semakin membimbangkan, menanam semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan selain memberi penerangan dan kefahaman berkenaan SOP bagi memutuskan rantaian COVID-19 ini," katanya.

Medan Klebang Restu dikenakan PKPD bermula 26 Julai lepas dan dijadual tamat hari ini.

Semalam, kawasan Chemor melaporkan 13 kes COVID-19 baharu, menjadikan keseluruhan 378 kes direkodkan di kawasan itu setakat ini. -- BERNAMA



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!