Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang bersaiz antara 300 hingga 500 kaki persegi akan dipindahkan ke unit perumahan baharu yang lebih luas.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, usaha ini adalah inisiatif kerajaan untuk menambah baik taraf kehidupan serta menangani gejala sosial termasuk penagihan dadah di kalangan remaja yang semakin meruncing.

"Kita akan kenal pasti kawasan untuk dibangunkan semula supaya golongan ini dapat berhijrah ke tempat kediaman yang lebih luas," kata beliau dalam satu temubual eksklusif bersama Astro Awani di sini hari ini.

Mengulas isu penagihan dadah seperti yang didakwa berlaku di kawasan PPR, Tengku Adnan berkata pihaknya sudah mula mengambil langkah bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Antara usaha-usaha yang dimaklumkan beliau termasuk mewujudkan program mingguan yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan.
"Kita tidak boleh harapkan hanya kepada pihak kerajaan dan pihak polis sahaja. Kita perlu mendekati masyarakat setempat kerana mereka lebih mengetahui keadaan sekitarnya," kata beliau.

Lebih 80 peratus daripada 27 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu negara dikenal pasti antara sarang penagih dadah.

Kebanyakan masalah dadah INI dipercayai berpunca daripada gejala sosial kesan daripada kepadatan penduduk di sesuatu kawasan.