GEORGE TOWN: Pengguna di sebahagian besar kawasan di Seberang Perai dan bahagian pulau di negeri ini yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual susulan kerja-kerja penggantian dua injap kawalan bersaiz 1.2 meter di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, mendapat semula bekalan secara berperingkat sejak semalam.

Tinjauan mendapati rata-rata mereka melahirkan rasa lega dan berterima kasih kepada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kerana bertungkus-lumus sejak Rabu lepas demi memastikan pengguna yang terjejas memperoleh semula bekalan air mengikut tempoh dijadualkan.

Amalina Musa, 28, dari Seberang Perai Utara (SPU) memberitahu kawasan rumahnya di Maklom, Sungai Puyu sudah ada air sejak tengah malam semalam.

"Sekitar 10.30 malam Rabu lepas saya ada cuba buka paip kalau-kalau ada air tapi tak ada, selepas itu cuba lagi pada 12 tengah malam Alhamdulillah ada.

"Saya cepat-cepat tadah dan isi dalam tong kerana takut kalau air terputus semula sebab susah apabila tidak ada air, banyak urusan di rumah tertangguh," katanya.

Amalina yang mengusahakan bengkel kereta turut lega kerana sudah boleh menyambung semula perniagaan seperti biasa.

Sementara itu, Noor Atikah Zainal Anuar, 40, berkata kawasan rumahnya di Flat Sri Bayu, Bayan Lepas juga sudah mula menerima bekalan air pada 6.10 pagi tadi.

"Terkejut juga dah ada air, lebih awal daripada jangkaan...air yang ditadah sebelum ini pun masih banyak.

"Apapun, syukur dan terima kasih kepada PBAPP yang memudahkan urusan kami semua," katanya.

Bagi penduduk di kawasan yang belum menerima air pula mereka berharap bekalan dapat dipulihkan dalam masa terdekat.

Mohd Faizal Hashim, 37, yang tinggal di Teluk Kumbar berkata walaupun bekalan air belum pulih di kawasan perumahannya, dia tidak begitu risau kerana terdapat tangki disediakan untuk kegunaan penduduk.

"Di sini ada tangki besar diletakkan jadi tak risau sangat. Kita faham PBAPP sedang bekerja keras dan harap segalanya dipermudahkan dan bekalan air dapat dipulihkan sepenuhnya di semua kawasan dalam tempoh ditetapkan," katanya.

PBAPP dalam kenyataan pagi ini memaklumkan tahap kedua pemulihan bekalan air telah bermula dari 6 pagi tadi dengan pengepaman optimum air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau dan menyasarkan untuk memulihkan bekalan kepada 495,065 pengguna menjelang 6 pagi esok.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi pada Rabu lepas, namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sebanyak 157 kawasan membabitkan SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

-- BERNAMA