GUA MUSANG:Bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19, kaum Orang Asli di Kampung Sendrop, Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan bersepakat membina palang besi dan menjaga jalan masuk ke kampung mereka.

Penduduk Orang Asli tersebut bertindak demikian kerana ingin menjaga kampung mereka yang masih dikategorikan sebagai zon hijau.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Sendrop, Ahoi Along berkata sekatan itu dibuat sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) berkuat kuasa 16 Januari lalu.

Katanya, setiap hari, penduduk akan bertugas menjaga sekatan secara bergilir bermula jam 6.30 pagi hingga 7.30 malam.

"Malam tak boleh dah, 7.30 malam kami dah tutup.

"Sesiapa pun tak boleh masuk, kecuali pihak keselamatan macam polis, kecemasan, kesihatan baru kami buka. Orang lain kami tak benarlah," kata Ahoi.


Bagi Setiausaha JPKKOA Kampung Sendrop Sairol Nawas, langkah ini sebagai tindakan berwaspada.

"Kita orang buat pun macam nak berjaga-jaga daripada penyakit COVID-19 ini berleluasa, sebab kami pun mahu kurangkan kes COVID-19, kena buat macam ni lah.

"Daripada zon merah tak dibenarkan ke zon hijau," kata Sendrop.

Bagi petani Ahad Amai, usaha yang dibuat penduduk kampung ini bersifat sukarela.

"Sini jaga ada buat jadual, dalam lima waktu macam tu. Kami bahagikan dalam lima kumpulan, satu kumpulan lima orang.

"Satu kumpulan jaga dalam tiga jam. Sampai ke petang 7 lebih.

"Sukarela untuk kampung. Benda ni kena pekalah. Walaupun kat pedalaman tak kira di bandarlah," kata Ahad.

Kampung Sendrop terletak berhampiran kebun sayur yang menjadi laluan termasuklah pekerja asing setiap hari.

Seramai 500 penduduk Orang Asli mendiami kampung berkenaan.