Penduduk di kawasan perumahan dari kawasan SS18 di sini mendakwa akan menerima kesan ke atas sebuah projek pembinaan sebuah menara telekomunikasi di kawasan mereka.

Dalam satu bantahan hari ini, mereka melahirkan rasa bimbang bahawa projek terbabit akan menjejaskan kesihatan dan keselamatan mereka.

Perhimpunan yang dihadiri sekitar 40 penduduk itu turut mendakwa pembinaan menara telekomunikasi itu sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa tanpa berbincang terlebih dahulu dengan penduduk.

Menurut Pengerusi Pro-tem Rukun Tetangga, Dr Hamidah Marican, selain risiko kesihatan, menara setinggi 30 meter itu akan menjejaskan kawasan riadah dan aktiviti sosial penduduk

"Kami hairan bagaimana ia boleh berlaku tanpa mereka mengadakan satu perjumpaan dengan penduduk kerana akhirnya kami adalah penduduk di sini.

Padang ini ialah padang utama kawasan SS18, di sini kami berjumpa hampir setiap hari, budak bermain bola, futsal, bola keranjang, melakukan aktiviti berlari dan setiap bulan kami mengadakan aktiviti komuniti di sini.

Sekiranya ada struktur yang dibina di sini memang satu pencerobohan bagi kawasan perumahan ini dan memang kami membantah sekeras-kerasnya," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Menurut beliau, penduduk sudah mengemukakan cadangan kawasan pembinaan baharu di kawasan berhampiran dalam mesyuarat pada Isnin, namun ia tidak dipedulikan.

"Memang rasa kecewa, kami adalah parti yang terakhir mengetahui perkara ini. Tempat ini tidak wajar dibina menara dan semalam (Isnin) kami telah menghadiri mesyuarat bersama pihak berkuasa dengan memberikan cadangan di SS18 bahawa terdapat satu kawasan lapang.

Pihak berkuasa boleh membina menara telekomunikasi dengan cadangan yang diberikan oleh pihak kami namun cadangan itu memang ditolak dan tidak dipedulikan langsung," tambahnya.

Sehubungan itu mereka berharap, syarikat telekomunikasi terlibat dan Majlis Perbandararan Subang Jaya (MPSJ) akan mengambil langkah sewajarnya bagi melegakan kebimbangan penduduk.