Penduduk di pangsapuri Taman Permata, Dengkil mendesak agar mereka ditempatkan ke kawasan perumahan baru.

Ia selepas kediaman yang diduduki mereka didapati tidak selamat dan berisiko runtuh.

Lebih 80 penduduk di Pangsapuri Taman Permata di Dengkil terpaksa tinggal di dalam khemah sejak tiga bulan lalu.

Bagi penduduk, mereka menghadapi pelbagai kesukaran tinggal di khemah sementara menunggu perumahan baru .

Seorang penduduk, Angela Selvaraju berkata, "Kita di sini mahu tinggal di dalam khemah pun tidak boleh. Kita nak pergi mandi, anak pulang dari sekolah, dari kerja mahu makan. Tolong cepat selamatkan kami, kami tidak selesa duduk atau tidur. Pada waktu malam saya tidak dapat tidur, mata saya pun sudah bengkak. Jika semua orang tidur nanti apa-apa berlaku pun tiada orang yang akan tahu."

Manakala, Sintai Letchumanan pula berkata, "Kami hari-hari tidur ada nyamuk gigit, pakai ubat pun orang di sini tidak boleh tidur. Berapa lama kita hendak menunggu? Dulu di estet pun selalu banjir, macam mana kita mahu tinggal, mahu tidur?"

Menurut penduduk kerajaan negeri, telah menyediakan bantuan tanah seluas 30 hingga 34 ekar untuk penempatan baru kepada mereka.

Bendahari Komunti Persatuan Penduduk Taman Permata, Manoharan Toplan berkata, "Kerajaan Negeri Selangor telah bagi surat pada 17 Ogos dan telah menghantar surat kepada kerajaan pusat, tetapi daripada kerajaan persekutuan kita tidak dapat apa-apa berita lagi. Jadi kita masih menunggu, ada tempoh lagi lapan hari".

Selain masalah keretakan, penduduk mendesak agar dipindahkan kerana kawasan berkenaan terletak berhampiran saluran paip gas dan perumahan mereka tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF).

Sebelum ini pihak Majlis Perbandaran Sepang (MPS) telah mengarahkan penduduk untuk berpindah selepas mendapati kawasan itu tidak masih selamat untuk diduduki.

MPS kemudiannya, menyediakan tiga buah khemah bagi penempatan sementara dan ada antara penduduk yang ditempatkan di dewan serbaguna berhampiran.

Pangsapuri lima tingkat itu mempunyai 400 unit rumah yang didiami lebih 2500 penduduk.

Kebanyakkan mereka merupakan bekas pekerja ladang Perang Besar, Galloway, Sedgley dan Medengley.

Mereka dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya.