KUALA NERUS: Seorang warga emas yang merupakan antara penduduk terawal di Pulau Redang menerima kad pengenalan (MyKad) baharu menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).

Rj Abdullah Rj Husain, 77, dari Kampung Baru Pulau Redang melahirkan rasa gembira kerana tidak perlu bersusah payah keluar dari pulau berkenaan semata-mata untuk memperbaharui kad pengenalannya itu.

"Saya tak begitu sihat.. jadi saya bersyukur sebab program ini banyak membantu memudahkan urusan saya dapat buat kad pengenalan baharu.

"Pada masa sama, saya juga dapat menjimatkan masa dan wang kerana tak perlu keluar dari pulau," katanya kepada pemberita selepas Program Mekar Komuniti: Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Pulau Redang di sini pada Sabtu.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Mohd Nasir Mat Sam, 47 berkata, program berkenaan dapat membantu menjimatkan kos sebanyak RM200 ke bandar Kuala Terengganu.

"Saya kena ambil teksi dari Merang ke Bandar yang menelan kos sebanyak RM80 hingga RM100. Itu belum kos pergi dan balik.

"Kalau tak siap awal, saya terpaksa sewa hotel sebab jarak perjalanan nak balik ke pulau semula jauh. Jadi saya bersyukur apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) datang ke pulau serahkan sendiri MyKad kepada kami di sini," ujarnya.

Pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Mohamad Nasir Kareem telah menyerahkan MyKad kepada 19 penduduk di Pulau Redang.

Sebelum ini, pasukan Mekar telah turun padang bagi memproses permohonan MyKad kali pertama bagi umur 12 tahun dan gantian kad pengenalan yang rosak di pulau berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Nasir berkata, pihaknya akan terus komited dalam menjalankan aktiviti turun padang bagi rakyat mendapatkan perkhidmatan JPN tanpa mengira latar belakang, status, bangsa dan agama demi mewujudkan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, usaha proaktif JPN bagi memastikan setiap penduduk di Malaysia yang layak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan ditawarkan kerajaan.

"JPN menyeru orang ramai untuk melaporkan kepada mana-mana 212 Pejabat JPN seluruh negara bagi membantu mana-mana individu yang mengalami masalah dokumen pengenalan diri," jelasnya. - Sinar Harian