SUNGAI PETANI: Lebih 1,500 penduduk di tiga taman perumahan sekitar Bandar Mutiara, dekat sini, terpaksa berulang alik sejauh lima kilometer untuk menunaikan solat Jumaat di luar kariah kerana kawasan itu tidak mempunyai masjid.

Ketiadaan masjid menyebabkan penduduk Taman Bandar Mutiara, Taman SP Height dan Yara Park dihimpit resah kerana tidak dapat beribadah secara selesa termasuk menguruskan jenazah setiap kali ada kematian serta gagal meng¬anjurkan sebarang aktiviti keagamaan untuk merapatkan hubungan di kejiranan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penaja Kariah Bandar Mutiara (JKPMKBM), Zahir Said, 46, berkata, sejak kawasan perumahan itu dibuka pada 2016, penduduk terpaksa menumpang di masjid Batu 2, Jalan Kuala Ketil, Taman Kelisa dan masjid di Bandar Puteri Jaya untuk menunaikan solat Jumaat.

Menurut beliau, kedua-dua masjid berkenaan terletak agak jauh dari kawasan mereka namun disebabkan tiada pilihan penduduk terpaksa juga pergi.

Menurut Zahir, tapak untuk pembinaan sebuah masjid telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) di atas lot seluas 10,100 meter persegi di Taman Bandar Mutiara tetapi disebabkan ketiadaan dana mencukupi, projek itu tidak dapat dilaksanakan sehingga kini.

“Kami sangat-sangat memerlukan masjid ini… Insya-Allah kita akan merancakkan lagi aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan antara tempat-tempat yang kita akan wujudkan di masjid ini seperti bilik pengurusan jenazah, medan selera dan pejabat serta dewan makan,” kata beliau.

Penduduk Taman Bandar Mutiara, Taman SP Height dan Yara Park dihimpit resah kerana tiada masjid dalam kariah mereka. - Gambar Astro AWANI

Bagi setiausaha masjid itu pula, Noor Hilmi Noor Lajis, 49, berkata, sekiranya masjid itu berjaya dibina kelak, ia mampu menampung lebih 1,500 jemaah untuk solat Jumaat dan solat fardu selain mampu menjadi lokasi untuk sebarang aktiviti keagamaan yang boleh mengimarahkan kawasan itu.

“Kepayahan penduduk di sini untuk mengerjakan terutamanya solat Jumaat mereka terpaksa keluar daripada kawasan ini lebih kurang lima kilometer dan akan pergi ke dua atau tiga masjid berdekatan.

“Ini menyukarkan penduduk untuk keluar terutama kalau hari hujan selain berlaku kesesakan dan beberapa kemalangan jalan raya telah pun berlaku… memang tak selalu tetapi setiap tahun ada berlakunya kemalangan untuk sampai ke tempat solat Jumaat itu,” ujar Noor Hilmi.

Sementara itu, turut menyatakan hasrat ialah Roslan Osman, 60, yang memaklumkan, kapasiti Surau Al Banna yang ada ketika ini hanya mampu menampung jumlah 100 orang jemaah sahaja.

“Surau kami ini kecil kapasitinya, bila ada macam solat Aidilfitri atau Aidiladha kapasiti penduduk yang balik ke sini ramai, bercampur pula dengan ahli keluarga mereka. jadi kami terpaksa solat di bahagian luar sampai melimpah. Memang kami berhasrat sangat untuk mendapatkan sebuah masjid,” kata Roslan.