Mana-mana penduduk yang tinggal berhampiran kawasan kejadian tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa di sini boleh memohon untuk dipindahkan di lokasi yang lebih selamat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, bagaimanapun, kebenaran itu diberikan kepada mereka yang mengalami trauma dan berasa tidak selamat untuk tinggal di kediaman masing-masing kerana dikhuatiri berlaku runtuhan tanah kali kedua.

“Buat masa ini, hanya sebuah rumah sahaja yang memohon untuk dipindahkan kerana berasa kurang selamat untuk tinggal di kawasan ini selepas kejadian tersebut manakala penduduk lain masih lagi memilih untuk tinggal di rumah masing-masing.

“Namun, berdasarkan pemerhatian hanya tujuh buah rumah sahaja yang terkesan buat masa ini dan rumah lain yang berada dalam di kawasan berhampiran masih lagi berada dalam kategori selamat,” katanya dalam ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Pada awal pagi Sabtu, kira-kira 40 penghuni di tujuh buah rumah berkenaan diarah meninggalkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat berkenaan.

BACA: Ancaman tanah runtuh, 40 penghuni Taman Kelab Ukay diarah tinggalkan kediaman

BACA: Azmin, Zuraida tampung kos sewa keluarga terjejas akibat tanah runtuh

Tindakan dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga selepas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima laporan kejadian pada jam 2.21 pagi tadi.

Hafisham berkata, kerja-kerja keselamatan dan tambah baik kawasan tanah runtuh giat dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengurangkan kejadian gelinciran tanah di kawasan runtuhan.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah kerana hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

“Kerja-kerja berkaitan giat dilakukan bagi mengelakan pergerakan tanah pada masa akan datang jika berlaku hujan lebat,” ujarnya.