KUALA LUMPUR : Kerajaan Sarawak akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) susulan penemuan dua kawasan sumber gas di pesisir pantai negeri itu.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan pada Rabu berkata perbincangan bersama syarikat minyak itu akan dilaksana berdasarkan terma Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA).

“Kerajaan maklum mengenai pengumuman Petronas mengenai penemuan gas di dua telaga pesisir pantai Sarawak.

“Iaitu di telaga penilaian penerokaan Lang Lebah-2 dalam kontrak perkongsian pengeluaran Blok SK410B (PSC) dan satu lagi penemuan diumumkan hari ini iaitu telaga di Dokong-1 di Blok SK417," petik kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada hari ini.

Ujar kenyataan tersebut, perbincangan bersama itu dilakukan bagi memberi manfaat yang terbaik buat kedua-dua pihak.

Terdahulu, Petronas mengesahkan penemuan gas baharu di kawasan pesisir pantai Sarawak.

Syarikat minyak dan gas negara itu mendedahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan di telaga penilaian penerokaan Lang Lebah-2 dalam kontrak perkongsian pengeluaran Blok SK410B (PSC) yang terletak di Wilayah Luconia Tengah, kira-kira 80 kilometer dari Sarawak.

Selain itu Petronas turut mengumumkan penemuan gas daripada penerokaan telaga “wildcat” Dokong-1 di Blok SK417 Kontrak Pengeluaran Bersama (PSC) yang terletak di perairan cetek Wilayah Baram, kira-kira 90 kilometer di luar pantai Sarawak.