Kerajaan digesa memberi penerangan lanjut berhubung penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara.

Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, sebab yang telah diumumkan sebelum ini memberi gambaran bahawa Abdul Gani terpaksa berhenti atas alasan kesihatan.

"Saya meminta penjelasan lanjut. Namun, saya tidak diberi peluang apabila Menteri yang ditanya mengambil keputusan untuk mengulangi jawapan yang telah diberi sebelum ini," kata Gobind.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di lobi Parlimen, pada Rabu.

Sebelum itu, Gobind telah cuba meminta pencerahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong mengenai perkara tersebut.

"Ketika keputusan itu dibuat Tan Sri(Abdul Gani), kesihatan beliau tidak seperti sekarang.

"Saya memberi jaminan keputusan tersebut dibuat berdasarkan tatacara yang betul," jawab Nancy ketika memberi ucapan penggulungannya di Dewan Rakyat.

Ketika ditemui di luar dewan, Nancy menyatakan bahawa beliau telah menjawab soalan tersebut sebaik mungkin.

Kata Nancy, negara memerlukan seorang Peguam Negara yang mempunyai kesihatan yang baik.

"Ketika itu, beliau digugurkan atas alasan kesihatan. Kini, kesihatan beliau bukan lagi hal kami," jelas beliau.

Pada 27 Julai lalu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengumumkan perkhidmatan Abdul Gani ditamatkan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik menggantikannya.