"Saya ok, saya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu... masih membaca dan melakukan beberapa kerja lain termasuk melayan cucu-cucu saya."

Demikian jawapan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selepas ditanya mengenai tahap kesihatannya oleh orang awam ketika soal jawab dalam forum anjuran Majlis Peguam mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Kemunculan Abdul Gani dalam forum itu merupakan yang pertama kali selepas tempoh perkhidmatannya ditamatkan atas faktor kesihatan pada Julai lepas.

Beliau yang sentiasa tersenyum dalam sesi forum itu turut menyatakan dirinya menjalani kehidupan yang menggembirakan kerana dikelilingi rakan yang baik.


Pada 27 Julai lalu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengumumkan perkhidmatan Abdul Gani ditamatkan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik menggantikannya.