KUALA LUMPUR:MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) berjaya menyempurnakan penerbangan carter pertamanya tahun ini dengan membawa kira-kira 20 tan kit ujian COVID-19 dari Seoul ke Jakarta, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ibrahim Mohamed Salleh berkata penerbangan MH6431 menggunakan pesawat pengangkut jenis Airbus 330-200, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon jam 5.20 petang (waktu tempatan) 4 Januari lepas dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta keesokannya selepas transit selama dua jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Perkhidmatan carter itu adalah berikutan keperluan mendadak bagi memastikan penghantaran barangan itu mengikut masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim menyifatkan usaha itu sebagai satu pencapaian apabila pasukan terbabit perlu mengharungi pelbagai cabaran ketika cuti akhir tahun bagi memastikan barangan terbabit selamat serta mengikut ketetapan, termasuk aspek suhu dan tempoh perjalanan.

Beliau berkata usaha penyelarasan penerbangan itu berjalan lancar susulan bantuan pihak carter yang berpejabat di Zagreb, penerima di Indonesia serta pasukan MASkargo di Kuala Lumpur dan Seoul.

Malah, MASkargo juga dapat mengekalkan suhu pesawat sekitar 15-25 darjah Celsius sepanjang penerbangan selama 11 jam menerusi penyediaan infrastruktur mencukupi bagi pengendalian, pengangkutan dan pengagihan barangan bercirikan sensitif suhu itu dengan selamat.

“Tidak dapat dinafikan lagi bahawa misi ini telah membuktikan keupayaan MASkargo serta rekod prestasinya yang kukuh dengan penghantaran barangan sensitif-suhu dalam rangkaiannya serta melangkaui kawasan itu,” katanya.

Selain penerbangan pengangkut, MASkargo turut mengendalikan penerbangan penumpang-kepada-kargo dengan peningkatan kekerapan bagi menepati permintaan, sekali gus menangani pengurangan kapasiti penumpang.

Usaha ini menerusi tiga pesawat pengangkut MASkargo selain turut menggunakan pesawat penumpang A330-300, A350-900 dan A380-800 milik Malaysia Airlines Bhd.