Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, pinjaman sebanyak RM40,000 bagi satu keluarga bakal memberi manfaat kepada 41,429 keluarga peneroka.
"Ini adalah pinjaman tanpa faedah antara yang terbaik di dunia," katanya pada majlis pelancaran Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF), di Menara FELDA, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib mahu Felda perlu terus memacu kemajuan dan pembangunan supaya menjadi penjana kuasa sosioekonomi peneroka.
Katanya, segala usaha yang dilakukan pemimpin terdahulu dalam membangunkan Felda tidak sewajarnya terhenti, sebaliknya memerlukan kesinambungan untuk manfaat generasi seterusnya.
"Kita tidak patut ada noktah dalam perjalanan ini kerana visi dan impian kita merentasi generasi 50 tahun akan datang. Justeru, kita nak Felda jadi penjana kuasa sosioekonomi," tambahnya.
Di akhir majlis tersebut, Najib turut membuat penjelasan berkenaan sebuah video di media sosial yang memaparkan kononnya pada pertemuan di majlis pelancaran Forest City di Johor minggu lalu, Sultan Johor tidak mahu bersalaman dengannya.
Video berkenaan memaparkan baginda bersalaman dengan rakyat selepas tiba dan terus berjalan ke hadapan.