KAJANG: Pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata dasar baharu pengambilan itu akan dilaksana tahun ini dengan perinciannya diumumkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Ahmad Zahid berkata Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut menyatakan terdapat kekeliruan daripada kenyataan bahawa pengambilan baharu penjawat awam adalah jawatan kontrak.

"Ia tidak bermaksud begitu, ia kontrak untuk tempoh singkat sebelum Kabinet luluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen.

"Mereka akan carum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan kerajaan beri sumbangan seperti lazim dilakukan pada petugas swasta," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam di Sungai Merab hari ini.

Ahmad Zahid turut memaklumkan tanggungan kerajaan untuk bayaran pencen akan mencecah RM120 bilion pada 2040 sekiranya pengambilan tetap bagi penjawat awam diteruskan.

"Penjawat awam sedia ada diteruskan iaitu tetap dan berpencen... saya ingin jelaskan bahawa yang baharu sahaja (terlibat)," katanya.

Semalam, media melaporkan kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenal bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Mengenai keputusan Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Presiden UMNO itu berkata ia adalah tindakan yang baik dan mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

"Saya fikir lebih ramai lebih baik. Itu hak ahli Parlimen sendiri secara individu dan kini kerajaan ada 153 sokongan ahli Parlimen. Semakin banyak dukung Perdana Menteri, semakin kuat beliau," katanya.

Zulkafperi hari ini berkata keputusan menyatakan sokongan kepada Anwar adalah untuk memastikan nasib dan pembangunan penduduk di kawasan Parlimen Tanjong Karang terus terbela selain mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur serta keperluan setempat.

Beliau menjadi wakil rakyat pembangkang keenam daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar selepas Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

-- BERNAMA