KUALA LUMPUR: Pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mayat yang tidak sempurna adalah dengan mendapatkannya daripada tisu atau tulang sebelum melaksanakan proses pemadanan dengan DNA waris mangsa.

Pensyarah Perubatan Pusat Kajian Diagnostik, Teraputik dan Penyiasatan Program Sains Forensik UKM. Dr Noor Hazfalinda Hamzah, berkata sampel DNA boleh didapati daripada sebanyak mungkin tisu dalam badan untuk dipadankan dengan ahli keluarga.

"Kalau masa bedah siasat itu, seandainya masih nampak bulat lagi (secara sempurna), boleh kita hantar untuk DNA. Tetapi seandainya kita dapat cebisan-cebisan organ dalam badan pun masih boleh hantar DNA, boleh diambil daripada tulang atau akhir sekali daripada gigi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada Program REAKSI-Tragedi Pesawat Terhempas di Elmina terbitan Bernama Radio hari ini.

Menurutnya, walaupun sekiranya mangsa terbakar sehingga 700 darjah Celcius, pihak forensik masih boleh amplifikasikan DNA yang terdapat pada tubuh mangsa.

Dr Noor Hazfalinda berkata pihak forensik akan menganalisa setiap cebisan yang dijumpai oleh pihak berwajib di tempat kejadian untuk mengenal pasti identiti setiap cebisan berkenaan supaya mayat dapat dipulangkan kepada keluarga dalam keadaan sempurna.

Sementara itu, Pengarah Bahagian DNA Forensik, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon berkata bagi mayat yang tidak sempurna, pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia dan patologi Kementerian Kesihatan akan mengambil dan menghantar cebisan-cebisan mayat kepada pihak forensik.

"Setiap satu cebisan ini akan dianalisa bagi mendapatkan profil DNA masing-masing. Seterusnya profil DNA ini akan dibuat pemadanan dengan profil DNA waris mangsa," katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk proses menganalisa DNA, beliau berkata ia bergantung kepada keadaan sampel yang diterima.

Menurutnya, Pegawai Bahagian DNA Forensik akan terus menjalankan analisa ke atas kesemua sampel yang diterima dan akan bekerja sepanjang masa sehingga semua sampel siap dianalisis.

"Jabatan Kimia Malaysia akan sentiasa memastikan mayat mangsa dapat diserahkan dengan segera kepada waris agar urusan pengebumian dapat dilaksanakan. Kami sentiasa komited dalam memastikan keperluan rakyat sentiasa didahului seiring dengan kemajuan sains dan teknologi yang sedia ada," katanya.

-- BERNAMA