MALAYSIA
Pengampunan Anwar: Penjelasan AGC lepaskan saya daripada tuduhan tak ikut proses - Tun M

Dr Mahathir berkata, isu pengampunan Anwar kembali timbul selepas isu Titah Adendum yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak - Gambar fail/Facebook Tun Mahathir
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad 'berterima kasih' kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana telah memberi penjelasan berkait pengampunan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, penjelasan berkenaan telah melepaskannya daripada tuduhan-tuduhan bahawa beliau tidak mengikut proses yang betul dalam mendapatkan pengampunan Anwar.
Dr Mahathir berkata, beliau berdepan tuduhan dalam beberapa tindakannya sebelum ini, termasuk kes Pulau Batu Puteh.
"Ingin saya jelaskan bahawa sejak dari masa pengampunan Anwar diumum dalam bulan Mei tahun 2018, beberapa pengamal undang-undang, ada yang agak rapat dengan saya dan juga yang tidak suka dengan saya, telah mempertikai proses pengampunan tersebut."Seingat saya, ada seorang peguam telah memfailkan saman mencabar kesahihan pengampunan Anwar selepas sahaja saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada bulan Februari 2020," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Semalam, AGC menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa pengampunan Anwar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, adalah tidak sah.
Jelas kenyataan itu lagi, atas nasihat Lembaga Pengampunan, Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah bertitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Anwar dibenarkan.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, isu pengampunan Anwar kembali timbul selepas isu Titah Adendum yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak dan usaha bekas Perdana Menteri itu mendapatkan kelonggaran tahanan rumah.
Dakwanya, penyokong Najib mempertikai kenapa titah Yang di-Pertuan Agong tidak dituruti, sedangkan apabila Anwar mendapat pengampunan penuh yang dianggap luar biasa sebelum itu, boleh dilaksanakan.
"Maka pengamal undang-undang tampil lagi mempertikai proses pengampunan Anwar kerana berlaku percanggahan dari segi perlaksanaan pengampunannya berbanding dengan adendum tahan rumah Najib, yang dikatakan telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
"Sekali lagi peranan saya dalam proses pengampunan Anwar dipertikai," jelas Dr Mahathir lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami