KUALA LUMPUR: Tujuh hari selepas menerima pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, Datuk Seri Najib Razak masih menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Ini susulan denda RM50 juta yang merupakan antara syarat perlu dipenuhi bagi pelaksanaan baki hukuman secara tahanan rumah masih belum dilunaskan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Astro AWANI.
"Setakat ini, tiada lagi perkembangan mengenai bayaran denda," katanya pada Khamis.
Pada 18 Sept lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Najib dan mengekalkan sabitan serta hukuman berkenaan. Pada hari sama, beliau mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Najib kemudian mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022. Permohonan itu dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024.
Pada 2 Februari 2024, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.