Skip to main content

Malaysia

Pengampunan Diraja: Apa yang perlu difahami?

51744102561_CourtMahkamah.jpg
Mahkamah di Malaysia secara konsisten berpendapat bahawa apa-apa keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah. - Gambar hiasan
Advertisement

DI Malaysia, kuasa pengampunan terserah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, selain Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi negeri masing-masing mengikut bidang kuasa yang ditetapkan.

Kuasa berkenaan merangkumi pengampunan, penangguhan atau peringanan hukuman dan dilaksanakan berdasarkan kerangka perlembagaan yang berkaitan.

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Pengampunan Diraja dan sejauh mana kuasa tersebut boleh dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan?

KUASA YANG DI-PERTUAN AGONG

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk memberi ampun, menunda atau legakan hukuman.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong meliputi semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, bagi kesalahan yang dilakukan di negeri-negeri lain, kuasa pengampunan terletak pada Raja, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing.

Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengampun, menunda atau meringankan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera serta mahkamah sivil di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Kuasa yang sama bagi kesalahan yang dilakukan di sesebuah negeri pula terletak pada Raja atau Yang di-Pertua Negeri berkenaan.

PERANAN LEMBAGA PENGAMPUNAN

Lembaga Pengampunan bagi setiap negeri terdiri daripada Peguam Negara, Menteri Besar atau Ketua Menteri serta sehingga tiga anggota lain yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Lembaga berkenaan dipengerusikan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri dan perlu mengambil kira pendapat bertulis Peguam Negara sebelum memberikan nasihat.

Peranan Lembaga Pengampunan adalah untuk mempertimbangkan permohonan banduan selaras dengan Peraturan 54, Peraturan 113 dan Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Selain itu, Lembaga Pengampunan juga boleh mempertimbangkan permohonan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

ADAKAH KEPUTUSAN YANG DI-PERTUAN AGONG MUKTAMAD?

Keputusan yang dibuat oleh Seri Paduka Baginda adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

Mahkamah di Malaysia secara konsisten berpendapat bahawa apa-apa keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah.

ADAKAH YANG DI-PERTUAN AGONG TERTAKLUK KEPADA NASIHAT LEMBAGA PENGAMPUNAN?

Lembaga Pengampunan bertindak sebagai badan penasihat kepada Seri Paduka Baginda dan Baginda tidak perlu mengikut nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan.

JANGKA MASA KEMUKA PERMOHONAN

Mengikut Peraturan 113 Peraturan-Peraturan Penjara 2000, banduan boleh mengemukakan petisyen pengampunan serta-merta selepas disabitkan.

Banduan juga hanya layak mengemukakan permohonan semula selepas tiga tahun dari tarikh hukuman dikenakan termasuk tarikh hukuman baharu ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seterusnya banduan boleh mengemukakan petisyen pengampunan pada setiap dua tahun.

SIAPA AHLI EKSEKUTIF DARIPADA KERAJAAN DALAM LEMBAGA PENGAMPUNAN?

Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan antara anggota Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan.

Sumber: UMNO Online
 

Must Watch Video

Advertisement