KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam satu kenyataan media, Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan mengenai kenyataan Pua, yang didakwa menghina institusi diraja berkaitan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan berhubung kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Razarudin berkata, kenyataan itu bersifat menghasut orang ramai agar membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.


“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan / Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 / Seksyen 233  Akta SKMM 1998.

“Tony Pua akan dipanggil bagi membantu siasatan pada 5 Februari 2024 (Isnin) jam 1 tengah hari di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman,” katanya lagi.

Razarudin berkata, kes tersebut masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan atau menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Tambahnya lagi, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Baru-baru ini, Pua telah mengeluarkan kenyataan bernada sinis di laman sosialnya, dipercayai respons  terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong mengurangkan tempoh pemenjaraan Najib dari 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Beberapa pihak berpandangan kenyataan tersebut memperlekehkan peranan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sayap parti itu akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi mengesa siasatan terhadap Pua, yang didakwa mengeluarkan kenyataan biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Insya-Allah laporan polis terhadap Tony Pua akan dilakukan seluruh negara oleh Pemuda UMNO atas kebiadapan dia mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong”.

"Jumpa di mahkamah," katanya lagi.