MALAYSIA
Penganalisis: Lebih baik kerjasama antara BN dan Pakatan Rakyat

Penganalisis politik berpendapat kerjasama antara parti pemerintah dan parti pembangkang lebih memberi makna kepada negara berbanding jika hanya melibatkan dua parti yang mewakili satu kaum sahaja.
Pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat lebih bersifat inklusif berbanding jika hanya melibatkan UMNO dan PAS sahaja.
Katanya, kerjasama antara BN dan Pakatan Rakyat boleh menyelesaikan lebih banyak masalah kerana ia mewakili semua kaum yang ada di negara ini
"Masalah ekonomi dan jenayah yang dihadapi sekarang melibatkan semua kaum bukan hanya Melayu semata-mata, jadi kalau perbincangan antara BN dan Pakatan akan lebih menyelesaikan masalah.
"Kalau perbincangan hanya melibatkan UMNO dan PAS sahaja ia jadi eksklusif kerana hanya menyelesaikan masalah Melayu dan bumiputera semata-mata," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Shaharuddin berkata banyak negara lain yang membuat perbincangan antara parti pemerintah dan pembangkang untuk menyelesaikan masalah negara.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata partinya sedia bekerjasama dengan UMNO termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika PAS dipelawa.
Shaharuddin berkata jika Abdul Hadi hanya mahu berbincang dengan UMNO semata-mata ia telah membataskan perbincangan dan tidak menguntungkan negara.
Pada Sabtu, Abdul Hadi berkata PAS sedia bekerjasama dengan UMNO termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika PAS dipelawa.
Katanya, PAS boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin PAS dan UMNO boleh berada bersama di atas satu pentas.
Beliau berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demi kebaikan bangsa Melayu dan umat Islam, UMNO terbuka untuk bekerjasama dengan PAS.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata kerjasama antara kedua-dua pihak itu sebenarnya telah disarankan banyak pemimpin Islam.
Sehari selepas Muhyiddin membuat kenyataan, Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib menegaskan selagi ada bulan, bintang dan matahari, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Umno kecuali lawannya itu mengubah dasarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang itu berkata selama ini banyak dasar-dasar Umno yang zalim dan tidak dipersetujui PAS menyebabkan kerjasama yang diharapkan sukar untuk dilaksanakan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami