Penganalisis politik meramalkan prestasi lebih baik mampu dicatatkan Pakatan Rakyat di Johor pada pilihan raya umum akan datang, sekaligus memecah penguasaan Barisan Nasional di negeri itu.
Semalam, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa penasihat DAP, Lim Kit Siang bakal bertanding di kawasan parlimen Gelang Patah.
DAP juga dilaporkan berhasrat untuk bertanding di 15 daripada 26 kerusi di negeri itu.
Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian melihat langkah ke 'selatan' oleh Lim menunjukkan keyakinan parti itu dalam meraih sokongan terutamanya dari pengundi kaum Cina dan pengundi muda.
"Ini dilihat sebagai satu langkah berani kerana Lim melepaskan kerusi selamat di Ipoh Timur, seolah-olah menunjukkan parti itu yakin akan mampu menang" kata Ibrahim kepada Astro Awani.
Ditanya sama ada keyakinan ini akan diterjemahkan kepada penambahan undi untuk DAP, Ibrahim berkata "Saya fikir mereka dapat mencapai prestasi lebih baik di Johor.”
Beliau mengulas bahawa ramalan itu berdasarkan keputusan pilihan raya kecil di Labis dan Tenang, di mana pengundi muda, khususnya bukan Melayu, didapati lebih cenderung mengundi parti pembangkang.
DAP katanya akan cuba mengambil kesempatan dari angin perubahan ini.
"Mereka kini mempunyai satu kerusi di Johor dan berpotensi untuk menang beberapa lagi kerusi, jika dilihat dari komposisi pengundi di sana. Jika mereka menang satu lagi, ia sudah dikira peningkatan 100%."
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa ramalan sedemikian boleh berubah bergantung kepada pelbagai faktor.
"Semua ini bergantung pada isu-isu yang pembangkang cuba ketengahkan, kualiti kempen mereka dan respon BN di kawasan masing-masing. Jadi ia masih situasi yang dinamik,"katanya.
Untuk BN menang, kata Ibrahim, parti itu perlu mewawarkan rekod pembangunan serta pelan transformasi yang dilakukan sebelum ini.
Beliau berkata bahawa selain daripada keperluan untuk meyakinkan pengundi bahawa pelan transformasi telah memberikan hasil positif, BN juga perlu menangani isu-isu seperti jenayah, peningkatan kos sara hidup dan rasuah.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Sivamurugan Pandian juga bersetuju bahawa Pakatan berkemungkinan besar akan mendapat lebih banyak kerusi, terutama di kawasan yang didominasi pengundi Cina.
Namun, beliau juga berpendapat pakatan pembangkang masih jauh dari "menumbangkan BN” di kubu kuat parti itu.
"Adakah orang Johor bersedia untuk menerima mereka? Saya masih melihat Johor sebagai kubu kuat BN. Saya rasa pembangkang dilihat sebagai terlalu yakin kali ini. "
Sivamurugan juga berkata bahawa pengundi mungkin juga mempersoalkan langkah berani Lim itu, kerana beliau sebelum ini bertanding di Melaka, Selangor, Pulau Pinang, dan Perak.
"Bagi beliau untuk berhijrah dari Perak ke Johor, kembali ke negeri di mana dia dilahirkan, Batu Pahat, mungkin dia ingin menamatkan kerjayanya di Johor," katanya.
"Bagi Lim yang berusia 72 tahun, dan telah berpolitik hampir 44 tahun, pengundi mungkin mempersoalkan apakah tiada pemimpin lebih muda untuk dicalonkan? Atau mungkinkah Lim berpindah ke Johor kerana Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming terlalu kuat di Perak. "
Sivamurugan berkata bahawa Pakatan mungkin cuba untuk menjadikan Johor sebagai "kawasan tsunami baru" ekoran prestasi baik parti pembangkang pada tahun 2008.
Beliau mengingatkan bahawa jika PKR dan DAP tidak dapat menyelesaikan isu pembahagian kerusi antara Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng dan Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, mereka mungkin kehilangan undi.
Selain itu katanya, keputusan politik di Johor banyak bergantung pada kumpulan pengundi atas pagar, dan oleh itu ia penting bagi ahli-ahli politik untuk menangani isu-isu setempat selain isu pengangguran, perumahan dan pengangkutan.
Sementara itu, penganalisis politik Khoo Kay Peng berpendapat bahawa langkah DAP memperkuatkan kehadiran di Johor akan menyebabkan peratusan undi untuk parti itu meningkat.
"Ia adalah satu langkah yang baik, dan memang perlu dilakukan oleh pembangkang,” kata Khoo.
"Kalau Pakatan tidak berjaya memecahkan penguasaan BN di situ, maka cita-cita untuk menawan Putrajaya tidak mungkin mampu direalisasikan," kata Khoo.
Beliau berkata langkah DAP itu juga perlu dilakukan untuk meyakinkan penyokong mereka bahawa usaha untuk menguasai Putrajaya bukan setakat cakap kosong sahaja.
Ditanya apakah perasaan pengundi tentang Lim yang kerap berhijrah dari satu negeri ke satu negeri yang lain, Khoo berkata bahawa secara teori ia tidak salah kerana sasaran utama parti-parti politik sememangnya untuk meraih kemenangan.
"Namun untuk pengundi, ia mungkin berbeza. Pengundi mungkin mahu mengambil masa untuk mengenali wakil-wakil mereka. "
Mengenai cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat, Khoo berkata: "Banyak wang yang telah dicurahkan di Johor, orang mungkin tidak mahu menukar status quo sekarang, kerana terdapat banyak aktiviti ekonomi.
"Ia juga merupakan negeri penting kepada Umno, yang masih parti yang paling kuat di Malaysia. Umno memegang jumlah kerusi terbanyak, dan mempunyai rangkaian yang terbaik. Sebab itu, pembangkang merupakan 'pasukan belasahan' di Johor sebelum ini. "
Manakala bagi BN, Khoo berkata parti pemerintah akan perlu berdepan dengan "faktor X" pengundi baru dan pengundi luar negara yang pulang dimana ramai daripada mereka berketurunan Cina.
Gelang Patah, terdiri daripada 54 peratus pengundi Cina, 34 peratus Melayu dan 12 peratus India. Ahli parlimen dan Ketua Wanita MCA Johor, Tan Ah Eng mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 8,851 undi pada 2008.
Walaupun Pakatan Rakyat menang besar dalam pilihan raya 2008, hanya satu kerusi dimenangi di Johor, iaitu di Bakri yang dimenang oleh Er Teck Hwa dari DAP.
Teoh El Sen
Mon Mar 18 2013
Menjelajah bawah tanah untuk 'shopping' Krismas
Musim perayaan hujung tahun tidak dinafikan menjadi musim yang paling mengujakan buat penduduk dunia. Manakan tidak, ada pelbagai acara, persembahan, hiasan berwarna warni, serta pengalaman beli-belah istimewa menanti peminat 'kaki shopping'. Di Jerman misalnya, tampil dengan kelainan tersendiri...iaitu? bazaar Krismas bawah tanah.
Pemandu Mercedez terbakar, juga suspek langgar lari motorsikal
Pemandu kereta Mercedez Benz 45 yang terbakar di tol Wangsa Maju pada petang Ahad juga merupakan dalang kepada insiden langgar lari sebuah motorsikal di Lebuhraya SPE dan telah dikenal pasti pihak polis. Perkara itu seperti yang disahkan oleh kakak mangsa Syahrizah Saini ketika dihubungi Astro AWANI yang turut memaklumkan bahawa adiknya kini dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur.
Presiden Yoon ingkar perintah hadir, pendakwaan akan usul perintah kedua
Pendakwa Raya Korea Selatan mengesahkan bahawa Presiden Yoon Suk Yeol gagal mematuhi perintah hadir yang dikeluarkan pada Ahad, sambil menambah bahawa satu lagi perintah akan dihantar tidak lama lagi.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 15 Disember 2024.
Tumpuan Isnin – 16 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Tiga lagi suspek kes bunuh lelaki di pangsapuri direman
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi ketika mengesahkan penahanan tersebut berkata, kesemua suspek rakyat tempatan, berusia antara 32 hingga 48 tahun dan ditangkap di lokasi berbeza. #AWANInews
Lima anggota 'Bali Nine' sudah kembali ke Australia
Lima anggota 'Bali Nine' yang menjalani hukuman pemenjaraan seumur hidup di Indonesia sudah dipindahkan ke negara asal mereka, Australia. Perkara itu seperti yang disahkan Perdana Menteri Anthony Albanese yang memaklumkan lima warganya itu yang diberkas pihak berkuasa dalam kegiatan penyeludupan dadah di pulau peranginan terkenal, Bali pada April 2005.
Lima maut, puluhan migran hilang di Pulau Gavdos
Lima individu terkorban dalam kejadian bot migran yang terbalik di perairan Greece awal pagi Sabtu. Menurut Kementerian Luar Pakistan pada Ahad, 47 warganya dapat diselamatkan dalam tragedi yang berlaku berhampiran Pulau Gavdos di selatan Crete itu.
Parti pemerintah Korea tolak cadangan badan perundingan
Ketua Whip Parti Kuasa Rakyat Korea Selatan, Kweon Seong-dong, pada Ahad menegaskan bahawa parti pemerintah telah menolak cadangan parti pembangkang utama untuk menubuhkan badan perundingan bagi menstabilkan pentadbiran negara
Sekolah di Damsyik dibuka semula
Sekolah-sekolah di Damsyik dibuka semula pada Ahad, seminggu selepas kejatuhan Presiden Syria, Bashar al-Assad.