Kemenangan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi kerusi naib presiden merupakan satu petanda baik terutama usaha untuk merapatkan lagi perbezaan yang timbul antara dua kumpulan dalam parti itu.

Profesor Madya Bridget Welsh dari Singapore Management University berpendapat Tuan Ibrahim boleh memainkan peranan penting untuk menyatukan dua kumpulan dalam PAS yang selama ini dikatakan tidak sehaluan dalam menentukan hala tuju parti itu.

Welsh berkata, biarpun Tuan Ibrahim dilihat mewakili kumpulan ulama, satu kumpulan konservatif dalam PAS, namun beliau mampu untuk menjadi 'jambatan' menghubungkan kumpulan tersebut dengan kumpulan profesional.

"Ramai yang berkata Taun Ibrahim itu wakil ulama tetapi saya melihat dia bukan mewakili mana-mana kumpulan dan ini amat baik untuk PAS kerana dia boleh jadi jambatan antara dua kumpulan dalam PAS.

"Dua kumpulan, profesional dan ulama perlu berbincang untuk kebaikan PAS, mungkin perlu sedikit waktu kerana masih ada luka daripada pemilihan ini, tetapi ia boleh diselesaikan dan Tuan Ibrahim adalah yang terbaik untuk menjadi orang tengah," katanya kepada Astro AWANI di Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati, Shah Alam pada Ahad.

Mengulas barisan pimpinan PAS untuk sesi 2013-2015, Welsh berpendapat ia merupakan barisan yang lebih inklusif berbanding sebelum ini.

"Barisan ini lebih bersifat nasional kerana ia tidak seperti dahulu yang lebih banyak dibarisi pimpinan dari Kelantan dan Terengganu.

"Barisan kali ini juga ramai generasi baru seperti Nasrudin Hassan, Ridhuan Md Nor, Nik Zawawi dan beberapa nama lain.

"Ya mereka mungkin konservatif tetapi mereka daripada generasi baru dan boleh menarik lebih banyak sokongan kepada PAS," katanya lagi.

Menyentuh persiapan PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Welsh berpendapat parti Islam itu perlu menyelesaikan beberapa kelemahan dengan segera.

Antara yang perubahan segera yang perlu dilakukan, PAS perlu mempunyai hubungan dengan rakyat yang berbeza daripada sebelum ini.

"Dengan barisan yang inklusif, hubungan PAS dengan rakyat juga harus berubah, program mereka tidak boleh lagi eksklusif untuk ahli semata-mata, perlu lebih dekat dengan rakyat," katanya.