JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Indonesia yang tidak bekerja didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis atas pertuduhan membunuh seorang juruteknik di sebuah pangsapuri di bandar raya itu bulan lalu.
Tertuduh, Fajar Ali, 29, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripadanya memandangkan kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, Fajar didakwa membunuh Mohammad Sallehen Mohd Safri, 33, di Prima Tebrau Residensi, Jalan Dato Sulaiman, di sini pada kira-kira jam 7 pagi, 12 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, sekiranya sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Nazman memohon agar tiada jaminan diberikan kepada tertuduh kerana pertuduhan yang dikenakan adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 September depan bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.
Pada 14 Mei lalu, seorang juruteknik dilapor ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat ditikam di sebuah unit pangsapuri di Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa ditemukan terbaring di dalam kediaman berkenaan pada jam 10.50 malam.