KANGAR: Seorang lelaki yang juga penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kangar, hari ini, atas pertuduhan membunuh warga emas di sebuah rumah di Jalan Abi Tok Hashim, Kangar pada 7 Disember lalu.

Tertuduh, Shahrezal Shuhaimi, 34, didakwa menyebabkan kematian terhadap Yeen Baai, 72, di Jalan Abi Tok Hashim, Kangar pada 7 Disember lalu antara 10 hingga 10.30 malam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain kerana kes bunuh adalah mengikut bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ab Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menerusi pendakwaan Nurul Atikah memohon mahkamah supaya membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak untuk penilaian psikiatri berdasarkan Seksyen 342 (5) Kanun Tatacara Jenayah.

Majistret membenarkan permohonan Nurul Atiqah dan kemudian menetapkan 14 Januari hadapan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan pemeriksaan kesihatan mental tertuduh.

Pada 7 Disember lalu, Yeen ditemui mati dengan kesan darah di kepala dipercayai dipukul dengan batang cangkul di kediamannya.

Polis berjaya menahan tertuduh tidak jauh dari lokasi kejadian pada hari yang sama.