KUALA LUMPUR: Seorang penganggur hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengugut untuk membunuh adik lelakinya, Sabtu lepas.
K. Charaniyathevan, 25, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap K. Jeevadevan, 22, di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Air Panas, Off Jalan Genting Kelang di sini pada 4.49 pagi 21 Feb lepas.
Advertisement
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai masalah mental dan tekanan perasaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa berkata tiada sebarang pengesahan daripada hospital berhubung masalah mental seperti didakwa tertuduh, dan memohon mahkamah mengeluarkan perintah agar lelaki itu dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan kemudian mengarahkan Charaniyathevan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk mendapatkan laporan psikiatri dan menetapkan 9 April ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA