KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 3,000 liter diesel tanpa lesen sah, minggu lepas.
M. Saravanan, 24, didakwa memiliki 3,000 liter diesel itu yang berada di dalam sebuah lori di Jalan Air Jernih, Setapak di sini pada 5.50 petang 24 April.
Advertisement
Lelaki itu didakwa melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong atau runcit tanpa lesen mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) M. Selvaraju menawarkan jaminan RM30,000 namun lelaki itu merayu jumlah tersebut dikurangkan kerana dia kini tidak bekerja.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Jun untuk sebutan semula kes.
Pada 25 April, KPDN Kuala Lumpur menahan seorang pemandu lori dan merampas diesel menerusi Ops Tiris (Bersepadu) 4.0 selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika keluar dari stesen minyak dan kemudiannya memasuki sebuah lagi stesen minyak untuk mengisi bahan api itu.
-- BERNAMA