Faktor pengangguran adalah antara punca sesetengah individu terlibat dalam kegiatan jenayah samun kedai, termasuk mengambil jalan mudah untuk memperoleh wang dengan cara terpantas.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia disebabkan kehadiran ramai pendatang asing yang bekerja di negara ini sehingga mereka tiada punca pendapatan dan tekanan hidup memaksa mereka melakukan kegiatan itu.

"Kemiskinan dan kegawatan ekonomi juga mendorong perlakuan jenayah tersebut...kadang-kala orang yang melakukan kegiatan ini pernah terlibat dengan sindiket jenayah yang sama," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Lee merujuk kes polis menahan empat lelaki di dua lokasi iaitu di Bandar Baru Selayang dan Bandar Sri Permaisuri pada 24 Julai lepas kerana disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan di sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di Jalan Delima 13, Wangsa Maju di sini, pada 14 Julai lalu.

Berikutan itu, beliau menyarankan pengusaha kedai serbaneka agar mengadakan perbincangan dengan pihak polis bagi membanteras jenayah seumpama itu.

"Perbincangan yang dilakukan sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan kegiatan itu, kerana jika pengusaha merasakan seperti mengesyaki seseorang yang yang ingin melakukan jenayah boleh segera menghubungi polis.

"Polis juga harus mempertingkatkan rondaan malam di kawasan yang didapati berpotensi berlaku rompakan," katanya.

Beliau berkata pengusaha juga perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sudut yang berisiko tinggi untuk berlaku rompakan contohnya kaunter.

Katanya, CCTV dapat merakam perbuatan dan suasana semasa rompakan juga memudahkan siasatan polis bagi mengesan penjenayah serta membuat pengecaman wajah.

Beliau menggalakkan pengusaha untuk menambah bilangan anggota keselamatan bagi mengawal dan menyelia keadaan kedai.