KUALA LUMPUR: Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

"Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh PKP 3.0 yang dilanjutkan sehingga 28 Jun 2021.

"Namun begitu, bagi memudah cara perjalanan, pemandu teksi diminta mendapatkan surat kebenaran beroperasi dari Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di www.aplication.mot.gov.my," katanya.

Manakala, jelas beliau lagi, buat pemandu e-hailing pula mereka perlu mendapatkan salinan surat kebenaran MOT yang telah diberikan kepada syarikat operasi masing-masing.

"Surat tersebut beserta Lesen PSV (passenger service vehicle) yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diperlukan sebagai bukti kebenaran beroperasi di Sekatan Jalan Raya (SJR).

Ujarnya dalam kenyataan sama, setiap kenderaan penumpang yang dinyatakan juga dihadkan kepada tiga individu iaitu seorang pemandu dan dua penumpang.

"Ia termasuk bagi kenderaan bersaiz lebih besar seperti 4WD dan van," jelas beliau.

Dalam masa yang sama Ka Siong turut menyeru pengguna pengangkutan awam perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri atau daerah daripada pihak PDRM sekiranya menggunakan mana-mana mod pengangkutan awam bagi perjalanan berkaitan.

"Kesemua pemain industri yang telah mendapat kelulusan di bawah SMILE bertarikh sebelum 1 Jun 2021 boleh memuat turun semula surat pengesahan beroperasi di laman web sama tanpa perlu mendaftar semula," kata beliau.