Mahkamah Rayuan membenarkan sekatan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan The Herald kerana berpendapat ia bukan saja akan mengelirukan umat Islam tetapi boleh juga mengelirukan penganut Kristian.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh dalam penghakiman berasingan berpendapat, sekiranya kalimah Allah dipakai dalam penerbitan Bahasa Melayu The Herald, ada kemungkinan ia akan memberikan gambaran yang salah tentang konsep ketuhanan dalam Kristian.

Jelas beliau, konsep ketuhanan triniti iaitu tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus dalam Kristian sama sekali tidak serupa dengan konsep ketuhanan dalam Islam.

"Dalam erti kata lain, ada potensi kekeliruan itu bukan hanya terhad di kalangan orang Islam tetapi orang Kristian juga," katanya dalam penghakiman 23 halaman itu.

Mohd Zawawi juga bersetuju dengan keputusan Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali bahawa penggunaan kalimah Allah bukan merupakan asas atau sebahagian daripada amalan dalam agama Kristian dan ia bukan sesuatu yang dijamin sebagai kebebasan beragama dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau merujuk kepada kes Hajah Halimatussaadiah Kamarudin lawan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia pada 1994 yang melibatkan persoalan pemakaian purdah dalam Islam.

Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pemakaian purdah bukan wajib dalam Islam dan oleh itu, tindakan kerajaan memecat kakitangannya yang memakai purdah tidak bertentangan dengan undang-undang.

Mohd Zawawi juga merujuk kepada kes Meor Atiqulrahman Ishak di Mahkamah Rayuan pada 2005 yang menerima pakai keputusan berkenaan dalam satu pertikaian mengenai pemakaian serban di sekolah.

Dalam penghakimannya, Mohd Zawawi juga membangkitkan persoalan mengenai debat tentang kalimah Allah di kalangan penganut agama Kristian sendiri dunia termasuk pertikaian mengenai terjemahan Bible ke dalam beberapa bahasa di serata.

"Kita boleh rumuskan bahawa orang Kristian sendiri pun tidak ada kata sepakat tentang bagaimana hendak menggunakan kalimah Allah sama ada dalam terjemahan atau versi Bible atau pengunaannya secara am," kata beliau, dan menambah pertikaian itu menunjukkan betapa isu itu adalah sesuatu yang kontroversi.

Mohd Zawawi juga meragui apakah pendirian pihak gereja Katolik dalam isu kalimah Allah ini mencerminkan pendirian majoriti penganut Kristian Katolik.

Sementara itu, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dalam penghakiman berasingannya turut bersetuju dengan pandangan Mohd Zawawi dan menambah sekatan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga merumuskan Kementerian Dalam Negeri telah mengambil kira faktor keselamatan dan ketenteraman awam apabila mengenakan syarat sekatan penggunaan kalimah Allah kepada penerbitan mingguan itu.

Mohd Abdul Rahim merujuk kepada insiden serangan ke atas gereja dan masjid serta tunjuk perasaan dan perbincangan di media yang menghasut yang berlaku selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan memihak kepada The Herald pada a31 Disember 2009.