KANGAR : Seorang pengasuh warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan menyembunyikan kelahiran di Kangar pada bulan lalu.

Tertuduh, Yuni Widya Sari, 28, yang berasal dari Medan, Indonesia mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shahida Abd Rahim

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yuni didapati melakukan perbuatan menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan mengebumikan mayat seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan olehnya di Jalan Mutiara Jaya, Taman Mutiara, Kangar pada 21 Disember lalu jam 6.30 pagi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Hanani Che Nor dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mohd Izham dalam hujahannya memohon mahkamah tidak memberi jaminan kepada tertuduh memandangkan dia adalah seorang warga asing.

Hujahan itu bagaimanapun dibantah oleh Nurul Hanani yang berkata anak guamnya berhak mendapat jaminan mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam rayuannya, dia memohon mahkamah supaya dapat memberikan satu jaminan yang setimpal kepada anak guamnya memandangkan tertuduh adalah seorang ibu tunggal.

Selain itu, tertuduh juga menyara dua orang anaknya berusia empat dan lima tahun yang kini dijaga oleh ibu di Medan, Indonesia.

Mahkamah membenarkan rayuan Nurul Hanani dengan menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin warga Malaysia.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan tarikh 15 Februari hadapan sebagai tarikh penentuan hukuman sementara menunggu laporan bedah siasat dan DNA, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar jaminan.

Pada 30 Disember lalu, polis menahan seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan berkaitan penemuan mayat bayi lelaki di belakang sebuah rumah di Taman Mutiara, di Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mayat bayi itu ditemui apabila seorang guru berusia 44 tahun terbau busuk di belakang rumahnya.

Katanya, lelaki itu mencangkul di lokasi berbau busuk itu sebelum menjumpai mayat bayi berbungkus kain putih yang sudah pun berulat.