SUNGAI PETANI: Pengawal keselamatan yang parah dilibas pedang selepas dipercayai menegur seorang lelaki kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Tapak Pembinaan di Bukit Bayan, dekat sini meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Ismail Ahmad, 58, dilaporkan menghembus nafas terakhir sekitar jam 5 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, mengesahkan kematian mangsa.

“Polis bagaimanapun masih menunggu keputusan siasatan lengkap bagi mengetahui punca kematian mangsa dan bagi membuka kertas siasatan lain (jika ada keperluan), selain Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dikenakan terhadap suspek seperti sebelum ini.

“Saya meminta orang awam tidak membuat spekulasi tentang kematian ini dan kejadian yang berlaku melibatkan mangsa (sebelum ini),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Pengawal keselamatan cedera dilibas pedang

BACA: Penganggur mengaku bersalah cederakan pengawal keselamatan guna pedang

Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa yang ketika itu sedang berkawal di pos pengawal di tapak projek perumahan Siera 4, Bukit Bayan, dipercayai menegur suspek kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

Sejurus itu suspek pulang ke rumah dan datang semula bersama dua lagi rakannya dan berlaku pertengkaran.

Suspek dipercayai tidak berpuas hati lalu bertindak melibas mangsa dengan sebilah pedang samurai menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan kiri.

Hari ini, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan mencederakan mangsa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebatan.

Lelaki berusia 41 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Hakim bagaimanapun tidak menjatuhkan hukuman hari ini dan menetapkan 29 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.