GUA MUSANG: Seorang pengedar dadah sempat bergelut dengan anggota polis semasa serbuan dilakukan di tepi jalan Sungai Asap B, di sini pada Isnin.

Penahanan lelaki berusia 46 tahun itu pada jam 1 petang membawa kepada rampasan 1,070 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM11,920.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hasil pemeriksaan pada motosikal suspek telah menjumpai lima peket plastik berwarna biru berisi 113.0 gram pil yaba, tujuh keratan plastik cerah (7.5 gram) pil yaba dan satu keratan foil aluminium berisi 1.8 gram pil psikotropik.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkait kesalahan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, perintah tahanan reman akan dimohon selama tujuh hari bermula hari ini. - Sinar Harian