SEPANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk pengekalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus bagi penerbangan domestik.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata perbincangan tersebut dijangka diadakan pada Mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

"SST terpakai untuk tiket penerbangan dan telah dimaklumkan oleh syarikat penerbangan (AirAsia) kepada saya sebentar tadi.

“Saya akan berbincang dengan MoF untuk melihat sama ada boleh mengekalkan SST enam peratus untuk perjalanan domestik.

“Kenaikan SST memang sudah pun dimulakan, dan kita akan bincang MoF pada minggu ini semasa Mesyuarat Kabinet," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Penerbangan Tambang Tetap Hari Raya oleh AirAsia di sini pada Isnin.

BACA: Aidilfitri: AirAsia tawar lebih 22,000 tempat duduk tambang tetap ke Sabah, Sarawak

Mulai 1 Mac, kadar SST bagi kebanyakan perkhidmatan termasuk perkhidmatan digital berpangkalan di luar negara dinaikkan kepada lapan peratus daripada enam peratus.

Begitu pun, perkhidmatan penerbangan setakat ini antara yang tersenarai dalam perkhidmatan yang tidak mengalami kenaikan SST kepada lapan peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata kerajaan perlu mempertimbangkan langkah pengekalan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus untuk perjalanan domestik.

Jelas beliau, ia mengambil kira industri berkenaan baru pulih selepas COVID-19 selain peranan besar pelancongan dalam ekonomi negara.

"Ramai pelancong antarabangsa akan datang ke sini dan (pergi) ke Langkawi, Pulau Pinang, dan Pantai Timur.

"Satu lagi yang saya ingin tambah kepada menteri ialah perniagaan MRO yang menjadi sangat besar di dunia.

"Di AirAsia, kami mempunyai sebuah syarikat bernama Asia Digital Engineering (ADE). Kami baru bermula dan kami berharap kerajaan akan memberi peluang kepada MRO untuk mengejar rakyat Singapura," tambahnya.