Desakan untuk dikenakan dakwaan jenayah paling berat ke atas pelaku dua kes buli mutakhir yang membawa kepada kematian pegawai kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dan remaja T. Nhaveen mungkin hanya merupakan penyelesaian jangka pendek, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail.

Beliau berkata respons sedemikan tidak boleh menangani punca akar umbi gejala sosial yang semakin memuncak itu.

"Suhakam menggariskan hubungan antara buli dan kemudian kenakalan dan tingkah laku jenayah tidak boleh diketepikan dan pengenalpastian dan campur tangan awal adalah perlu bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat.

“Semua golongan dewasa bertanggungjawab bagi mencipta persekitaran positif dan mengakhiri keganasan dalam kehidupan kanak-kanak dan remaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Suhakam menegaskan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk dihormati, selamat dan bebas dari keganasan, serangan dan buli selain hak untuk bebas daripada seksaan, layanan tidak berperikemanusiaan dan penghinaan.

"Apabila buli tidak diawasi, ibu bapa, guru, pelajar, komuniti dan pemimpin agama, kerajaan serta pihak berkepentingan terpaksa mencari formula yang sesuai bagi menangani buli dengan cara melindungi semua kanak-kanak dan pelajar termasuk anggota masyarakat.

“Oleh kerana buli adalah masalah sosial yang kompleks yang memerlukan pelbagai pendekatan, pihak berkuasa perlu menunjukkan bahawa masyarakat boleh dan mesti berfungsi dalam budaya tanpa keganasan,” tambah Razali.

Beliau berkata Suhakam amat sedih dan turut meratapi kematian T. Nhaveen dan Zulfarhan yang hilang nyawa pada usia muda atas dakwaan dibuli dengan kejam.

Zulfarhan, 21, mati pada 1 Jun lalu dengan kesan seksa dan terbakar dari api seterika sementara Nhaveen, 18, mati pada Khamis setelah didakwa dipukul sekumpulan remaja.

-- BERNAMA