IPOH: Pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas tuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf, Oktober lalu.

Tertuduh, yang juga seorang duda, Saiful Sharma Abdullah, 52, membuat pengangkuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, Pengerusi Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Negeri Perak itu didakwa sebagai seorang yang tidak berhak untuk menggunakan dan menikmati gelaran Datuk Seri telah dengan sengaja menggunakan dan menikmati gelaran tersebut pada surat permohonan kelulusan untuk menganjurkan majlis ulang tahun kesembilan persatuan itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 31 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tiga tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir menawarkan jaminan RM5,000, namun peguam tertuduh, Teeban Kummar memohon jaminan paling minimum.

Menurutnya, tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,000 sebulan dan menghidap penyakit kronik.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari 2024 untuk serahan dokumen.