Bayangkan jika penggera pengesan asap bukan hanya bunyi bip, tetapi melantunkan bunyi suara nyaring seorang wanita.

Itu antara prototaip terbaharu di United Kingdom (UK) hasil kajian terhadap 34 kanak-kanak berusia antara dua hingga 13 tahun yang lena tidur.

Kajian Dundee University yang dibuat bersama Jabatan Bomba Derbyshire mendapati hanya 20 peratus bersamaan tujuh daripada 34 kanak-kanak memberi respon kepada penggera normal alat pengesan asap.

Apa yang lebih mengejutkan, kajian itu mendapati kanak-kanak lelaki paling sukar untuk sedar dari tidur apabila 100 peratus mereka yang 'terselamat' dalam kajian itu adalah kanak-kanak perempuan.

Namun, prototaip terbaharu alat tersebut yang direndahkan frekuensi dan diletakkan suara wanita memberi impak berbeza.

Prototaip penggera baharu itu merendahkan frekuensi daripada 3,000 hertz (Hz) kepada 520 Hz dengan suara wanita yang memberikan amaran dan bukan hanya bunyi bip semata-mata.

Justeru, hasil kajian yang dikemukakan pada Februari lalu akan menjadi model kepada syarikat-syarikat alat penggera untuk menambah baik sistem penggera.