NATIONAL
Penggunaan AI jejas kebebasan media - CIJ

CIJ beri amaran bahawa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara meluas dalam industri media semakin menghakis kebebasan akhbar dan menjejaskan kelangsungan kerjaya wartawan di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) memberi amaran bahawa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara meluas dalam industri media semakin menghakis kebebasan akhbar dan menjejaskan kelangsungan kerjaya wartawan di Malaysia.
Dalam kenyataan sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2025, CIJ menegaskan, walaupun Malaysia mencatat peningkatan dalam Indeks Kebebasan Media Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) pencapaian ini tidak mencerminkan perubahan struktur yang diperlukan.
“Peningkatan ini adalah satu petanda positif, tetapi ia tidak harus menutup mata kita terhadap kekangan sistemik yang terus menindas kebebasan media,” kata Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G. Naidu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut CIJ, teknologi AI kini bukan sekadar alat sokongan tetapi telah menjadi pengganti kepada tenaga kerja manusia.Katanya, ini terbukti dengan keputusan Media Chinese International Limited (MCIL) yang memberhentikan 44 peratus kakitangan demi memberi laluan kepada penggunaan AI dalam operasi editorial mereka.
“Apabila AI digunakan sebagai pengganti dan bukannya pelengkap kepada kewartawanan yang dipacu manusia, masyarakat akan kehilangan laporan kontekstual dan berasaskan lapangan yang penting untuk demokrasi,” ujar CIJ lagi.
Tambah CIJ, ancaman terhadap media bukan sekadar datang dari teknologi, tetapi juga daripada kerangka undang-undang yang menindas.
CIJ membidas penggunaan Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang dikatakan menyekat kebebasan bersuara atas nama keselamatan dan moral awam.
CIJ turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan perundangan terhadap wartawan yang menjalankan tugas mereka secara kritikal.
“Kita telah melihat sabitan terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, dan siasatan terhadap wartawan Bloomberg, Malaysiakini serta media Tamil – ini jelas menunjukkan trend intimidasi yang semakin menjadi-jadi,” jelas Wathshlah.
Namun begitu, CIJ melihat sinar harapan melalui penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) yang dijangka dilaksanakan Jun ini.
Katanya, majlis tersebut jika benar-benar bebas dan inklusif, berpotensi menjadi pelindung kepada integriti media serta tempat penyelesaian pertikaian yang adil.
CIJ juga menyeru moratorium terhadap semua undang-undang penindasan sementara proses reformasi berlangsung.
“Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2025 adalah seruan untuk bertindak. Kita mesti bergerak melepasi simbolisme dan menuju perubahan yang sebenar,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami