KUALA LUMPUR: Faktor musim perayaan dan cuaca panas menyebabkan peningkatan penggunaan tenaga elektrik.

Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), trend peningkatan berterusan ini dicatatkan dengan rekod tertinggi permintaan maksimum bekalan tenaga sebanyak 19,716 Megawatt (MW) dicatat pada 11 Mei 2023.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, syarikat utiliti nasional itu berkata, penggunaan tenaga dikesan meningkat bagi peralatan seperti penyaman udara dan kipas.

Ini, jelas TNB, menyumbang pada peningkatan penggunaan tenaga bagi isi rumah seterusnya turut meningkatkan pengiraan bil.

Justeru, syarikat itu menyarankan kepada masyarakat untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah bagi peralatan elektrik yang digunakan bagi mengelak pembaziran dan kos yang tinggi.

Kata TNB, penjimatan penggunaan tenaga juga boleh membantu usaha menangani perubahan iklim serta kelestarian alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon yang dijana oleh sumber bahan api fosil.

BACA: Keuntungan bersih TNB naik kepada RM1 bilion pada suku pertama

Dalam pada itu, TNB sebelum ini mengumumkan peningkatan keuntungan bersih iaitu melonjak 12.2 peratus kepada RM1 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 daripada RM893.10 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Peningkatan ini kebanyakannya disebabkan oleh peruntukan cukai yang lebih rendah diiktiraf pada suku di bawah kajian, hasil daripada penggunaan insentif elaun pelaburan semula lebih tinggi, kata syarikat utiliti itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.