KEBIMBANGAN orang ramai terhadap penularan COVID-19 yang semakin mengganas terutamanya melibatkan varian Delta telah memperlihatkan penyebaran pelbagai maklumat mengenai cara-cara yang boleh dilakukan oleh semua pihak dalam menanganinya.

Pun begitu, terdapat juga pelbagai perkongsian maklumat yang mengelirukan dan tidak tepat terutamanya di media sosial.

Antara perkongsian maklumat yang berlegar minggu ini ialah kononnya satu amaran yang dikeluarkan oleh pihak hospital yang menyatakan bahawa varian Delta ini tersebar dengan cepat melalui penggunaan pam minyak, seterusnya menyarankan orang ramai untuk memakai sarung tangan atau menggunakan tuala kertas semasa mengisi minyak dan membuangnya dengan segera.

Berdasarkan semakan, sebenarnya mesej yang sama pernah tular pada Mac tahun lalu iaitu ketika negara baru menghadapi ancaman COVID-19 sehingga memaksa beberapa ketetapan dibuat bagi pengoperasian stesen minyak termasuklah mensanitasi kawasan yang kerap disentuh seperti pam minyak dan nozel, serta penyediaan pensanitasi tangan di setiap pam minyak bagi kegunaan pengunjung.

Malahan beberapa syarikat operator stesen minyak seperti Petronas dan Shell Malaysia turut mengeluarkan kenyataan serta amaran bahaya penggunaan peralatan seperti sarung tangan, beg plastik, sapu tangan mahupun tisu bagi mengelakkan pengaliran cas statik (electro-static discharge - ESD) sewaktu mengisi minyak seterusnya mengelak risiko kebakaran.

Menurut Mohd Adli Wong, ESD adalah fenomena biasa yang boleh mengakibatkan pengaliran elektrik dan menghasilkan percikan bunga api seterusnya menyebabkan kebakaran dan letupan di lokasi berbahaya seperti stesen minyak.

‘Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 176 kes kebakaran stesen minyak yang disebabkan oleh elektrostatik dari tahun 2000 hingga 2010 yang telah dilaporkan ke Institut Peralatan Petroleum US (US Petroleum Equipment Institute),’ ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan personel yang kompeten bagi persekitaran merbahaya dan berisiko berlaku letupan yang diperakui oleh International Electrotechnical Commission for Explosive Atmospheres (IECEx), turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan sebarang jenis sarung tangan termasuklah sarung tangan jenis lateks dan nitril, melainkan penggunaan sarung tangan anti-statik yang dikeluarkan mengikut standard antarabangsa seperti EN16350.

‘Sarung tangan lateks semulajadi mempunyai rintangan permukaan melebihi 1x1011 ohm, manakala sarung tangan nitril pula pada kadar 105 - 1011 ohm. Secara amnya, apa-apa bahan yang mempunyai rintangan permukaan melebihi 1x109 ohm, berpotensi menghasilkan cas eletrostatik,’

‘Hentikan penyebaran maklumat yang tidak tepat seterusnya menyebabkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat, melainkan ianya telah disahkan oleh pihak berkuasa,’ tegas beliau.

Oleh itu, penggunaan sebarang jenis sarung tangan yang bukan dari jenis anti-statik mahupun peralatan lain seperti beg plastik, sapu tangan dan kertas tisu adalah perbuatan yang tidak selamat dan patut dielakkan.

Kaedah terbaik untuk mengurangkan risiko dari terkena sebarang jangkitan COVID-19 yang mungkin terdapat pada nozel pam minyak atau mana-mana kawasan yang kerap berlaku sentuhan ialah dengan meningkatkan kekerapan pensanitasian kawasan tersebut oleh operator stesen minyak dan menyediakan sabun atau pensanitasi tangan, serta sentiasa memantau ketersediannya dan menambahnya jika perlu bagi kegunaan pelanggan.

Bagi orang awam pula, cuci tangan sebelum dan selepas menggunakan nozel pam minyak, selain sentiasa patuh pada arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh operator stesen minyak berkenaan.


* Ts Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.