Dewan Negeri Johor hari ini diberitahu penggunaan vape atau rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini adalah terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor Aminolhuda Hassan berkata mengikut rekod salah laku pelajar oleh pihak sekolah, didapati hanya 757 murid terlibat dengan penggunaannya daripada keseluruhan 576,901 pelajar di negeri ini.

"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor memandang serius perkara ini (penggunaan vape atau rokok elektronik) dan sudah mengarahkan pihak sekolah melaksanakan sesi bimbingan dan kaunseling terhadap pelajar terlibat," katanya menjawab soalan Muhamad Said Jonit (PH-Mahkota) yang bertanyakan pelan tindakan oleh kerajaan negeri bagi membendung penggunaan rokok elektronik pada Persidangan Dewan Negeri Johor di sini hari ini.

Aminolhuda berkata dalam masa sama, sekolah juga melaksanakan pelbagai intervensi dalam mencegah penggunaan vape antaranya mengadakan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Johor, mengedarkan pamplet, mengadakan kempen pencegahan bersama badan bukan kerajaan serta penglibatan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti.

Beliau berkata semua kesalahan berkaitan vape tersebut akan dan sudah diambil tindakan mengikut surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Surat siaran KPM Bil 17 Tahun 2015 iaitu berhubung Larangan Penggunaan Rokok Elektrik atau Vape Di Sekolah juga sudah diedar ke sekolah-sekolah di negeri ini untuk dipatuhi, katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata seramai 2,488 orang pelajar anak-anak Johor menerima pemberian Insentif Harapan Siswa (IHS) sejak Jan tahun ini sehingga 30 Oktober lepas.

Menjawab soalan Muhammad Taqiuddin Cheman (PH-Pulai Sebatang) yang bertanyakan tentang jumlah penerima insentif tersebut tahun ini, beliau berkata insentif itu diberikan kepada pelajar yang mendaftar ke pengajian tinggi bagi sesi semester pertama 2018/2019 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

"Jumlah keseluruhan RM2.5 juta berkenaan merupakan pecahan daripada RM1.5 juta dari Yayasan Pelajaran Johor dan RM1 juta lagi adalah sumbangan dana dari Permodalan Darul Ta'zim (PDT).

"Kadar bantuan pula meliputi Diploma sebanyak RM500 manakala Ijazah Sarjana Muda sebanyak RM1,000," katanya pada persidangan sama.

Aminolhuda berkata Johor Bahru mencatatkan jumlah penerima IHS tertinggi dengan seramai 849 orang, diikuti Batu Pahat (557), Muar (183), Pontian (181), Kota Tinggi (164), Kulai (156), Kluang (139), Segamat (116), Tangkak (92) serta Mersing (51).

-- BERNAMA